YB MDN sempurna pra pelancaran Peringatan Hari Antidadah 2023

Oleh: Fauzi Suhaimi dan Ct Ashlidah Mat Razali

MACHANG, 18 Februari 2023 – Sambutan Hari Antidadah akan diraikan pada 26 Jun 2023 bertemakan Lebih Baik Cegah dengan mesej Pencegahan Dadah Bermula di Rumah.

Pun begitu, bermula 19 Februari ini, sebanyak 16 aktiviti utama akan dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara bagi menyemarakkan sambutan Peringatan Hari Antidadah 2023.

Aktiviti-aktiviti yang dirancang melibatkan institusi kekeluargaan yang merupakan benteng pertama dalam mencegah masalah penyalahgunaan dadah.

YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri menyempurnakan Pra Pelancaran Peringatan Hari Antidadah 2023 sempena Program KDN Madani yang julung kali diadakan di Kompleks Perpaduan Jajahan Machang, Kelantan.

Turut bersama-sama mengiringi YB Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam acara ini ialah Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon.

Pelancaran ini dilaksanakan sebagai pemakluman dan peringatan kepada orang ramai tentang Hari Antidadah yang akan disambut bermula 19 Februari setiap tahun sempena pengisytiharan dadah sebagai Musuh Nombor 1 Negara.

Susulan daripada pelancaran itu, AADK akan mengadakan 16 program utama di seluruh negara dengan kepelbagaian pengisian secara serentak sehingga kemuncak perasmian iaitu pada 26 Jun 2023.

Memeriahkan lagi bersama program KDN Madani ini adalah pelbagai pameran perkhidmatan dan jualan produk diadakan oleh semua jabatan dan agensi di bawah KDN.

Accessibility Toolbar