Soalan Lazim: Penguatkuasaan dan Keselamatan

1. Sekiranya saya membuat aduan, adakah maklumat saya akan dirahsiakan?

Ya. Maklumat tuan/puan akan dirahsiakan dan tidak akan didedahkan kepada pihak luar. Walaubagaimanapun, berdasarkan pengalaman kami pihak orang yang diadu akan mengesyaki orang – orang terdekat dengannya. Contohnya, tohmahan akan di buat kepada ahli keluarga yang pernah bergaduh dengannya, menasihatinya dan sebagainya lagi.

2. Adakah orang yang menghadapi masalah penagihan dadah (suspek) akan mengetahui saya adalah pengadu ?

Tidak, pihak kami akan sentiasa menjaga kerahsiaan anda sebagai pengadu.

3. Jika saya membuat aduan, bolehkah anak saya terus dimasukkan ke Pusat Pemulihan (PUSPEN) sehingga beliau tamat proses pemulihan?
Saya bimbang sekiranya anak saya ditahan dan kemudian dilepaskan keesokan harinya dia akan mengamuk dan marah kepada saya serta ahli keluarga yang lain.

Berdasarkan peruntukan undang-undang, arahan bagi seseorang dimasukkan ke dalam Pusat Pemulihan (PUSPEN) atau menjalani rawatan pemulihan dalam komuniti adalah di bawah bidang kuasa pihak mahkamah dengan syor pegawai AADK. Pihak AADK juga perlu menjalankan beberapa proses sebelum membawa seseorang yang disyaki sebagai penagih ke mahkamah. Pihak AADK perlu mendapatkan keputusan ujian dadah dalam air kencing dari makmal patologi dan pengesahan dari doktor perubatan bahawa orang tersebut adalah seorang penagih dadah sebelum orang tersebut dibawa ke mahkamah. Proses ini mungkin memakan masa 2 minggu atau lebih bergantung kepada jenis dadah yang diambil. Sebelum keputusan makmal diperolehi orang itu boleh di beri jamin oleh pegawai AADK.
Sekiranya orang yang diadukan mengamuk atau mengancam keselamatan, pihak tuan/puan boleh terus menghubungi pihak PDRM untuk tindakan segera.

4. Keluarga saya telah membuat aduan berkenaan salah seorang ahli keluarga yang terlibat dengan penagihan dadah. Walaubagaimanapun selepas ditahan reman, dia kembali ke rumah selepas 14 hari. Kenapa dia hanya ditahan selama 14 hari sahaja?

Berdasarkan peruntukan undang-undang, seseorang yang disyaki sebagai penagih dadah boleh ditahan di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dalam tempoh 24 jam bagi tujuan perlaksanaan ujian saringan dadah dalam air kencing. Sementara menunggu pengesahan dadah dalam air kencing oleh makmal patologi orang tersebut boleh di tahan reman sehingga tempoh 14 hari.

Seseorang itu terpaksa dilepaskan selepas tempoh 14 hari kerana AADK tidak boleh menahan seseorang lebih dari tempoh tersebut. Jika keputusan ujian makmal patologi masih belum diperolehi dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak AADK akan memberi jamin pegawai kepada orang tersebut. Tanggapan orang ramai bahawa AADK melepaskan kes-kes selepas ditahan adalah tidak tepat. Ini adalah kerana apabila keputusan patologi tidak diperolehi dalam tempoh reman, mereka ini perlu dilepaskan. Walau bagaimanapun kes mereka masih lagi berjalan sehingga laporan makmal patologi diperolehi. Jika laporan makmal menunjukkan mereka positif dadah dan pegawai perubatan mengesahkan mereka sebagai penagih dadah, mereka masih perlu hadir ke mahkamah mengikut tarikh yang telah diberikan bagi tujuan mendapatkan perintah (masuk ke pusat pemulihan atau pengawasan dalam komuniti).

5. Salah seorang ahli keluarga saya merupakan Orang Kena Pengawasan (OKP) AADK. Saya dapati bahawa dia masih terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Bolehkah dia ditempatkan di mana-mana Pusat Pemulihan (PUSPEN) semula?

Berdasarkan peruntukan undang-undang, Orang Kena Pengawasan (OKP) di bawah seliaan AADK perlu mematuhi syarat-syarat pengawasan yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah. Sebarang aktiviti yang menyalahi mana-mana enam (6) syarat yang ditetapkan boleh ditafsirkan sebagai melanggar syarat pengawasan di bawah Seksyen 6(2) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983. Pihak AADK akan menyiasat pelanggaran tersebut sebelum kes tersebut dituduh di Mahkamah. Jika sabit kesalahan seseorang itu(OKP) boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 iaitu dipenjara tidak melebihi tempoh 3 tahun, atau sebatan tidak melebihi 3 sebatan atau kedua-duanya sekali.
OKP yang masih di dalam pengawasan AADK tidak boleh dimasukkan semula ke dalam Pusat Pemulihan (PUSPEN).

6. Saya risau keselamatan diri saya jika saya membuat aduan. Adakah saya akan selamat jika saya membuat aduan berkaitan penyalahgunaan dadah kepada pihak AADK?

Semua aduan berkaitan penyalahgunaan dadah yang dibuat kepada AADK adalah di kategorikan sebagai rahsia. Privasi dan data pengadu akan dirahsiakan dan tidak akan diserahkan kepada mana-mana pihak ketiga mahupun pihak yang diadu. AADK menjamin kerahsiaan dan privasi pihak pengadu.

7. Anak saya pernah dimasukkan ke Pusat Pemulihan Dadah dan telah tamat menjalani program pemulihan. Kenapa dia masih menagih?

Kepulihan daripada penagihan dadah merupakan proses sepanjang hayat kerana penagihan dadah adalah satu penyakit kronik yang mudah berulang (chronic relapsing disease). Bekas penagih dadah mudah terjebak semula ke dalam kancah penyalahgunaan dadah dan akhirnya menjadi ketagih semula jika ia tidak menjaga langkah-langkahnya. Setelah tamat menjalani pemulihan dalam institusi, seseorang itu perlu terus mendapat bantuan dan sokongan bagi mengekalkan kepulihannya. Ia perlu terus berada di bawah pengawasan AADK Daerah untuk satu tempoh dan mengikuti program-program rawatan dan pemulihan yang dilaksanakan oleh AADK Daerah tersebut. Sokongan daripada keluarga terdekat, rakan serta jiran setempat adalah amat penting bagi mengelakkan klien tersebut terbabit semula dengan dadah.

8. Mengapakah seseorang yang  ditahan dan didapati positif dadah semasa ujian saringan di beri jamin oleh pegawai AADK?

Pihak AADK hanya mempertimbangkan pemberian jamin kepada Orang Kena Tahan (OKT) yang mempunyai penyakit kronik yang tidak sesuai untuk ditahan reman. Selain daripada itu, semua OKT akan dihadapkan ke mahkamah bagi permohonan reman. Perintah reman dan tempoh masa reman adalah tertakluk kepada kuasa Majistret. Lazimnya, OKT yang positif dadah jenis methamphetamine semasa ujian saringan dadah diberi jamin memandangkan keputusan makmal patalogi tidak dapat disiapkan di dalam tempoh masa reman (14 hari). Keputusan makmal patalogi ini adalah elemen yang penting untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi seseorang OKT menjalani proses rawatan dan pemulihan di dalam institusi ataupun komuniti.

9. Kenapa AADK bebaskan penagih dadah selepas ia ditahan di dalam lokap, kalau boleh masukkannya terus ke dalam Pusat Pemulihan (PUSPEN)?

Berdasarkan peruntukan undang-undang, seseorang yang disyaki sebagai penagih dadah boleh ditahan di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dalam tempoh 24 jam bagi tujuan perlaksanaan ujian saringan dadah dalam air kencing. Sementara menunggu pengesahan dadah dalam air kencing oleh makmal patologi orang tersebut boleh di tahan reman sehingga tempoh 14 hari.
Seseorang itu terpaksa dilepaskan selepas tempoh 14 hari kerana AADK tidak boleh menahan seseorang lebih dari tempoh tersebut. Jika keputusan ujian makmal patologi masih belum diperolehi dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak AADK akan memberi jamin pegawai kepada orang tersebut.
Tanggapan orang ramai bahawa AADK melepaskan kes-kes selepas ditahan adalah tidak tepat. Ini adalah kerana apabila keputusan patologi tidak diperolehi dalam tempoh reman, mereka ini perlu dilepaskan. Walau bagaimanapun kes mereka masih lagi berjalan sehingga laporan makmal patologi diperolehi. Jika laporan makmal menunjukkan mereka positif dadah dan pegawai perubatan mengesahkan mereka sebagai penagih dadah, mereka masih perlu hadir ke mahkamah mengikut tarikh yang telah diberikan bagi tujuan mendapatkan perintah (masuk ke pusat pemulihan atau pengawasan dalam komuniti).

10. Kenapa AADK tidak menangkap tokan-tokan dadah tetapi hanya menangkap penagih-penagih sahaja?

Berdasarkan peruntukan undang-undang dan penyelarasan tugas antara AADK dan PDRM, pihak AADK akan menjalankan tangkapan dan penahanan berkaitan dengan penagihan dadah (Demand Reduction). PDRM pula memberi tumpuan kepada isu โ€“ isu pengedaran dadah (supply reduction) termasuklah tokan โ€“ tokan dadah. Walaubagaimanapun, sekiranya AADk menerima maklumat atau aduan berkaitan pengedaran atau tokan- tokan maklumat tersebut akan disalurkan kepada pihak PDRM.

11. Berapa lamakah saya boleh menerima maklumbalas aduan?

Anda akan menerima maklumbalas aduan dalam tempoh 3 hari bekerja.

12. Adakah pihak saya akan dimaklumkan mengenai sesuatu tindakan yang telah diambil?

Segala tindakan yang telah diambil akan dimaklumkan kepada anda.

Accessibility Toolbar