Tiada kompromi PPDP langgar standard piawaian minimum – KP AADK

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat

ALOR GAJAH, 28 Mac 2024 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak akan sesekali berkompromi dengan dengan mana-mana Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) yang melanggar standard piawaian minimun khususnya terhadap elemen dera, aniaya dan buli sepanjang proses rawatan dan pemulihan dijalankan.

Ketua Pengarahnya, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, elemen itu amat jelas melanggar standard minimum yang ditetapkan meskipun menggunakan kaedah rawatan dan pemulihan yang tersendiri.

โ€œPPDP dibenarkan untuk menggunakan kaedah rawatan dan pemulihan yang tersendiri dalam silibus pemulihan mereka namun itu tidak bermakna pengusaha boleh melanggar peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Pada umumnya AADK tidak akan melindungi mana-mana PPDP yang berdaftar di bawah Akta ini dan sekiranya elemen membuli, dera, atau aniaya itu wujud, maknanya PPDP tersebut bukan untuk memulihkan kerana ia tidak memenuhi syarat,” katanya selepas hadir ke Program Iftar Jamai’e AADK di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Tampin, Pulau Sebang di sini, pada Rabu.

Tuan Sutekno berkata sebagai mengulas mengenai isu penderaan melibatkan penghuni di pusat PPDP Eagle Land 1 di Lenggeng, Negeri Sembilan yang tular di media sosial dan kini di dalam siasatan pihak polis.

Jelasnya Tuan Sutekno, walaupun AADK menetapkan standard minimum yang perlu dipatui oleh lebih 60 pengusaha PPDP di seluruh negara namun ia hanya membabitkan aspek kemudahan, fasiliti, penginapan dan kebajikan klien.

“Untuk kaedah pemulihan kita tidak sama ratakan sebab pemulihan ini ada macam-macam pendekatan dan tidak adil sekiranya kita sama ratakannya kerana nanti dikatakan kerajaan hendak campur tangan, sedangkan pengusaha ada kaedah tersendiri.

“Cuma kita akan tengok kalau regim yang digunakan terlalu mendera atau keras, kita akan minta dia gugurkan dari silibus dan sekiranya kaedah itu mungkin regimnya agak keras dari segi disiplin tetapi klien sanggup dan tidak menganggap itu sebagai dera, kita tiada masalah,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya terdapat pelanggaran atau pengusaha tidak boleh mematuhi standard minimum yang ditetapkan selepas peringatan diberikan berdasarkan pemeriksaan, pemantauan dan audit dilakukan oleh AADK negeri dan ibu pejabat, pihak AADK akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk membatalkan pendaftaran PPDP tersebut.

Sementara itu berkaitan isu di PPDP Eagle Land 1, Sutekno berkata AADK akan mengeluarkan surat peringatan kepada PPDP tersebut dalam masa terdekat susulan pelanggaran standard minimum untuk menjalankan operasi sesebuah PPDP.

“AADK memberi tempoh 14 hari sebagai peluang kepada pengurusan dan penstrukturan pusat pemulihan tersebut agar mematuhi standard operasi minimum bagi mengelakkan berdepan tindakan penutupan pusat berkenaan.

“Ia berikutan hasil pemeriksaan yang mendapati pusat berkenaan tidak mematuhi piawaian minimum PPDP yang dtetapkan khususnya dalam aspek tempat tinggal, kapasiti pengguni dan ruang untuk menjalani aktiviti,” katanya.

AADK juga katanya menawarkan kepada semua penghuni pusat berkenaan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela sama ada melalui program Rawatan dan Pemulihan dalam Institusi di PUSPEN atau program Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti di pejabat AADK daerah yang terlibat.

Accessibility Toolbar