MTMD: Dua kertas pertimbangan diluluskan Kerajaan Negeri Sabah

Oleh: Dayang Siti Rohani Sedan

KOTA KINABALU, 7 Mac 2024 – Dua kertas pertimbangan iaitu Pemerkasaan Kempen SKUAD Antidadah dan Pemantapan Program Pendidikan Pencegahan Dadah diluluskan menerusi Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Bilangan 1 Negeri Sabah yang diurussetiakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Bilik Mesyuarat Utama, Menara Kinabalu, Kota Kinabalu pada Khamis.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan bersetuju dengan dua kertas pertimbangan yang diusulkan bagi memastikan Negeri Sabah bebas daripada masalah penyalahgunaan dadah.

YAB Ketua Menteri berkata, konsep “Lebih Baik Cegah” perlu diperkasakan kerana ia memberi impak positif secara langsung kepada golongan belia yang berisiko tinggi terlibat dalam penyalahgunaan dadah. 

Beliau turut menyarankan agar setiap jabatan dan agensi dapat menyantuni pelanggan masing-masing sehingga ke peringkat akar umbi agar rakyat Negeri Sabah merasai perkhidmatan yang disampaikan. 

Kertas pertimbangan pertama, Pemerkasaan Kempen SKUAD Antidadah Negeri Sabah yang dibentang oleh Pengerusi SKUAD Antidadah Negeri Sabah bagi memperhebat kempen keahlian SKUAD Antidadah Negeri Sabah.

Kertas pertimbangan kedua yang diluluskan ialah Pemantapan Program Pencegahan Dadah oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang memfokuskan aspek pendidikan pencegahan dadah di kalangan pelajar sekolah. 

Hadir menyertai mesyuarat itu ialah Menteri Kementerian Kesejahteraan dan Pembangunan Masyarakat Sabah, Datuk James Ratib, Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong.

Accessibility Toolbar