Ketua Pengarah ajak warga AADK cintai, sayangi negara

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat

KAJANG, 4 September 2023 – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon mengajak semua warga kerja agensi untuk terus menzahirkan rasa cinta dan sayangi terhadap negara sempena dengan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Beliau berkata, perkara itu dilihat sebagai satu manifestasi bagi mewujudkan sebuah negara bangsa yang makmur, maju dan boleh didiami dengan selamat serta sejahtera.

“Sempena dengan Bulan Kebangsaan, saya mengajak semua pihak untuk terus mempamerkan perasaan cinta dan sayang kepada negara untuk memastikan negara kita sentiasa makmur dan selamat untuk didiami selama tempoh dalam perkhidmatan ataupun ketika pencen kelak.

“Selain itu, perasaan itu juga membolehkan semua pihak dapat mengecapi kemudahan yang sedia ada,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan (September) di sini, pada Isnin.

Bacaan Ikrar sempena dengan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini. Gambar AADK / UMKK

Dalam majlis sama, Tuan Sutekno turut menzahirkan ucapan penghargaan dan tahniah atas kejayaan pegawai AADK dalam pengoperasian penguatkuasaan dan keselamatan membabitkan kes penahanan orang yang disyaki menagih dadah (OYDS) dan cubaan menyeludup masuk wang oleh klien ke dalam kawasan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).

Katanya, kejayaan itu membuktikan komitmen dan usaha gigih Pengawal Keselamatan PUSPEN Sepang dalam memastikan premis AADK sentiasa dalam keadaan terkawal dan selamat.

“Tahniah juga diucapkan kepada empat orang pegawai AADK Daerah Pasir Mas, Kelantan yang telah berjaya menahan OYDS bersama sepucuk senjata api.

“Keempat-empat pegawai ini telah mendapat penghargaan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kejayaan ini membuktikan bahawa pegawai AADK sentiasa memberikan komitmen dan kecekapan yang tinggi dalam melaksanakan tugas,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah AADK berbesar hati menyampaikan anugerah penghargaan kepada pegawai yang membawa kejayaan dalam pengoperasian AADK dan hadiah untuk pemenang pertandingan-pertandingan yang telah dijalankan sepanjang Bulan Kemerdekaan.

Terdahulu majlis dimulakan dengan Program Jom Membaca 10 Minit dan Program Penghayatan Nilai-Nilai Murni dengan ceramah bertajuk ‘Kepulihan Yang Dicari’ dan disampaikan oleh Pendakwah Selebriti, Ustaz Zul Ramli M. Razali.

Turut Hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Puan Chang Hong Jin dan pengarah-pengarah bahagian AADK.

Accessibility Toolbar