Team Building: Pupuk kerjasama, tingkat semangat berpasukan

Oleh: Amir Zahien Amran

PORT DICKSON, 23 Jun 2023 –  Seramai 51 Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah dari seluruh negara menyertai Kursus Team Building Ketua-Ketua AADK Daerah anjuran Cawangan Pembangunan Sumber Manusia bermula 21 hingga 23 Jun di The Academy DRB Hicom, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kursus yang berlangsung selama tiga hari itu diadakan bagi mempupuk kerjasama sekali gus meningkatkan semangat berpasukan antara semua peserta.

Pelbagai aktiviti berunsurkan semangat kekitaan, toleransi dan cintakan organisasi didedahkan kepada semua peserta sepanjang kursus berkenaan.

Selain itu, kursus itu juga bagi menerapkan kemahiran bekerjasama dan memberi tumpuan kepada latihan kerja berpasukan yang membolehkan semua pemimpin di AADK mampu mencapai kejayaan secara maksima.

PESERTA

Peserta- peserta AADK yang menyertai Kursus Team Building 2023. Gambar AADK / Amir Zahien Amran

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon ketika berkata, adalah diharapkan dengan adanya kursus itu dapat mengubah cara kerja dan kepimpinan semua petugas barisan hadapan agensi yang berada di daerah.

“Dengan adanya aktiviti-aktiviti yang mencabar dan menguji kekuatan mental dan fizikal ini boleh mengubah cara kerja ke arah yang lebih baik daripada sebelumnya.

“Ini kerana, Ketua AADK Daerah adalah pemimpin dan anda semua adalah petugas barisan hadapan bagi agensi. Sebab itu saya tekankan AADK Daerah ada kekuatan yang tersendiri dan perlu diperkukuhkan.

“Sehubungan itu, salah satunya kita adakan kursus ini bagi meningkatkan daya kepimpinan semua pemimpin di daerah. InshaAllah akan ada kan kursus-kursus lain yang akan memberi kebaikan bukan sahaja kepada kita semua, malah kepada agensi,” katanya ketika berucap merasmikan kursus itu pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Chan Hong Jin dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Sumber Manusia) AADK, Noor Atikah Mokhtar.

Accessibility Toolbar