SUKAD 2023: Terap semangat berpasukan, disiplin

Oleh: Amir Zahien Amran

KAJANG, 14 Oktober 2023 – Penganjuran Sukan Agensi Antidadah Kebangsaan (SUKAD2023) oleh Kelab Kebajikan dan Sukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dilihat mampu menerapkan semangat berpasukan, disiplin, komitmen dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan warga kerja agensi.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Puan Shobah Jamil berkata, penerapan sedemikian juga wajar diterapkan dalam tugasan harian khususnya ketika melaksanakan tugas dan tanggungjawab di lapangan masing-masing.

Katanya, beliau percaya, dengan adanya semangat itu, AADK mampu membawa perkhidmatan pada tahap yang lebih membanggakan.

“Dalam mana-mana organisasi, kejayaan pelaksanaan tugas atau program bukannya bergantung kepada seseorang individu sahaja.

“Ia mesti dan seharusnya melibatkan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak. Bermula di peringkat pengurusan tertinggi sehingga ke kumpulan pelaksana.

“Seperti mana sukan Futsal yang dipertandingkan pada hari ini, objektif untuk menembusi gawang gol pasukan lawan mungkin sukar dicapai sekiranya terdapat seorang sahaja ahli pasukan yang berkeinginan untuk menjaringkan gol dan ingin menjadi hero, tanpa melibatkan kerjasama daripada ahli lain.

“Jadi, kita janganlah mengamalkan bekerja secara Silo di pejabat atau organisasi kerana, amalan itu tidak akan mendatangkan hasil dan sasaran yang diinginkan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Penutup SUKAD 2023 di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Puan Shobah menambah, semangat berpasukan itu amat bernilai dalam memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

“Ia pasti akan dapat dilaksanakan dengan lebih cemerlang dan berkesan khasnya dalam menjayakan program-program AADK menerusi Model i-Pulih AADK, Model i-Cegah AADK serta Model i-Prihatin AADK. Lantaran itu, Visi dan Misi AADK pasti akan dicapai dalam merealisasikan ‘Dadah Terkawal 2025’.

“Sesungguhnya kejayaan penganjuran Kejohanan SUKAD 2023 pada kali ini merupakan hasil daripada kerjasama semua pihak di pelbagai peringkat, sama ada di peringkat atasan mahu pun sebaliknya.

“Ini membuktikan bahawa sekiranya kita bersama-sama bekerja dan bersatu padu dalam melaksanakan apa jua tugas yang diberikan, ia pasti akan membuahkan hasil seperti yang kita semua harapkan,” ujarnya.

Accessibility Toolbar