Sembang santai AADK bersama komuniti

Oleh: Rashdan Zakaria

KOTA KINABALU, 5 April 2023 – Kira-kira 100 orang penduduk terdiri daripada pemimpin masyarakat dan persatuan penduduk hadir dalam program Sembang Santai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bersama Komuniti di Kampung Warisan, Inanam, Sabah.

Program anjuran AADK Negeri Sabah itu dilaksanakan sempena dengan program Pemantapan Comnunity Empowernent (CE) Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) Inanam.

Dalam program sembang santai itu, beberapa perkara ditekankan AADK termasuk aspek Pencegahan Dadah Bermula Di Rumah, program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) atau Institusi (RPDI) serta usaha pengesanan mereka yang terjebak dengan penagihan dadah secara menyeluruh.

Selain itu, tindakan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman tertentu turut dijelaskan kepada masyarakat secara bersama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK.

Sementara itu, dalam sembang santai itu turut mengetengahkan beberapa kajian ilmiah yang dilaksanakan penyelidik tempatan dan antarabangsa berhubung aspek rawatan dan pemulihan dan kejayaan kepulihan penagihan menerusi sistem sokongan daripada semua pihak baik keluarga, kejiranan dan masyarakat umum dalam tempoh sekurang-kurangnya 14 bulan.

Sembang santai itu dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Dato Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah dan Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd Nazri Daud.

Terdahulu Dato Dr. Muhamad Sade turut menyerahkan sumbangan berupa bakul makanan kepada klien dalam komuniti bagi meringankan beban mereka sempena bulan Ramadan.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainuddin Abdullah; Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Pengarah AADK Negeri Sabah, Nani Sikin; Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti) AADK, Dr. Nazira Sadiron dan Ketua Penolong Pengarah (Kesedaran Awam) AADK, Tengku Hanizar Tengku Awang.

Accessibility Toolbar