PUSPEN jadi institusi beri peluang kedua kepada penagih

Oleh: Fauzi Suhaimi

PADANG BESAR, 29 Mei 2023 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhasrat untuk menjadikan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dibawah seliaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mampu menjadi institusi yang boleh memberi peluang kepada kepada seseorang individu yang tergelincir dan terjebak dengan penagihan dadah.

Menterinya, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha itu adalah dengan menyediakan program rawatan dan pemulihan berasaskan Model i-Pulih AADK melibatkan aspek akal, rohani dan jasmani.

Warga Aadk dan PUSPEN menghadiri Majlis Perasmian Bukit Chabang – Gambar AADK / Muhammad Amir Zahien

Kata beliau, modul dan silibus yang diikuti di PUSPEN ini disusun dengan rapi bagi membolehkan seseorang klien itu didedahkan dengan ilmu dan pengetahuan dalam bidang-bidang kerohanian, pengurusan diri, kesihatan dan kemahiran vokasional.

“Adalah menjadi hasrat KDN untuk menjadikan PUSPEN sebagai institusi yang boleh memberi peluang kedua untuk seseorang individu yang tercicir lagi tergelincir untuk mendapat peluang kedua dengan mengikuti proses pemulihan berasaskan Model i-Pulih AADK melibatkan aspek akal, rohani dan jasmani.

“Insya-Allah, klien PUSPEN ini apabila keluar nanti akan mampu mengaji al-Quran, ada ilmu Fardu Ain, ada pengetahuan kesihatan, ada kemahiran vokasional dan tahu baik buruknya kesan penyalahgunaan dadah,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian PUSPEN Bukit Chabang, di sini pada Isnin.

YB Saifuddin Nasution (kiri) bersama Pemangku Raja Perlis ketika Perasmian PUSPEN Bukit Chabang – Gambar AADK / Muhammad Amir Zahien

Dalam pada itu, YB Saifuddin Nasution berkata, kaum keluarga yang ada ahlinya berada di PUSPEN perlu menzahirkan sokongan penuh sebagaimana galakan yang diberikan ahli keluarga kepada mereka yang sedang belajar di pusat pengajian.

“PUSPEN ini perlu dianggap pusat pendidikan yang bakal melahirkan graduan yang bukan sahaja pulih daripada masalah ketagihan dadah, malah akan menjadi seorang individu yang produktif kepada keluarga dan komunitinya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menambah, pada tahun 2022, bagi setiap 100 orang klien AADK, 71 orang telah berjaya pulih daripada masalah ketagihan dadah.

“Pada sesi lawatan kerja pertama saya ke AADK, saya telah menetapkan bahawa peratusan kadar kepulihan ini dinaikkan ke 75 peratus pada tahun 2023 ini.

Tuan Sutekno (kiri) sedang beramah mesra bersama YB Puan Gan Ay Ling semasa Majlis Perasmian PUSPEN Bukit ChabangGambar AADK / Muhammad Amir Zahien

“Walaupun kadar peratusan ini agak tinggi, dengan model pemulihan yang sentiasa ditambah baik, saya yakin, insya-Allah AADK akan mampu mencapainya,” ujarnya.

Terdahulu Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian PUSPEN Bukit Chabang.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon dan Menteri Besar Perlis, Tuan Mohd Shukri Ramli.

Accessibility Toolbar