Program Retreat Bersama Klien dan Malam Apresiasi Media AADK

Oleh: Amir Zahien Amran

KUALA SELANGOR, 20 September 2023 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah menganjurkan Program Retreat Bersama Klien dan Malam Apresiasi Media pada Rabu.

Program yang melibatkan penyertaan lebih 30 pengamal media tempatan dari pelbagai agensi dan dibawa ke tiga lokasi berbeza.

Bermula di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sungai Besi, Kuala Lumpur, mereka diberikan taklimat oleh pengarahnya, Nurshuhaila A.Rahman mengenai pengoperasian dan proses rawatan pemulihan di fasiliti sukarela dengan tertumpu kepada perkhidmatan program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) yang ditawarkan AADK.

Sementara itu, mereka turut berpeluang melihat sendiri aktiviti harian klien di PUSPEN dan kemudahan yang diberikan.

Kemudian mereka pula di bawa ke fasiliti kedua iaitu Pejabat AADK Daerah Kuala Selangor bagi memahami perkhdimatan program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) yang menjadi tumpuan AADK secara menyeluruh.

Ini kerana, klien AADK dalam komuniti lebih besar jumlahnya berbanding klien dalam institusi meliputi jumlah lebih 60,000 berbanding kira-kira 6,000 dalam PUSPEN.

Selepas itu, pengamal media di bawa ke tempat perusahaan perapan kambing yang diusahakan oleh bekas klien yang telah berjaya pulih sepenuhnya.

Penyediaan pembungkusan perapan kambing untuk dijual kepada pelanggan. Gambar AADK / UMKK

Pengusahanya, Mohd Radzi Abu Kasim berkongsi dan menunjukkan cara-cara penyediaan pembungkusan perapan kambing untuk dijual kepada pelanggan.

Pengamal media juga diberi peluang untuk merasai keenakan kambing perap yang diusahakan itu selain perkongsian kisah kejayaan kepulihan beliau hasil bantuan daripada AADK.

Pada sebelah malam pula, diadakan Majlis Apresiasi Media yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon.

Ketua Pengarah AADK sempat beramah mesra bersama pengamal media selain turut menyampaikan sesi Pocket Talk mengenai bertajuk Bendung Penagihan, Tingkat Kepulihan.

Hadir bersama Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan; Pengarah Pencegahan AADK, Tuan Zainudin Abdullah; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Azmi Mustafa; Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Pengarah Khidmat Pengurusan, Ahmad Musadad Sulaiman; Pengarah Integriti AADK, Zulfikri Ab Manaf; Pengarah Jabatan Penerangan Selangor, Normaizatulakmar Tujad dan Pengarah AADK Negeri Selangor, Nazir Mohamad.

Accessibility Toolbar