PPA AADK peroleh Sijil Akreditasi Kategori Diamond

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat

SUNGAI PETANI, 5 November 2023 – Semua modul dan silibus Program Persijilan Agensi Antidadah Kebangsaan (PPA) berjaya memperoleh Sijil Akreditasi Kategori Diamond daripada International Accreditation Organization (IAO) pada 18 September 2023.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, pengiktirafan itu sekali gus membolehkan PPA AADK diterima dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Selari dengan hasrat dan matlamat ini juga, Pusat Latihan AADK dengan kerjasama Cawangan Antarabangsa telah berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa bagi PPA.

“Modul dan silibus PPA ini telah diaudit oleh pihak International Accreditation Organization (IAO) pada 18 September 2023 dan Alhamdulillah PPA ini telah lulus audit dan layak untuk menerima Sijil Akreditasi Kategori Diamond,” katanya ketika berucap sempena sempena Majlis Pentauliahan PPA di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berharap agar pengiktirafan itu menjadi pemangkin kepada Pusat Latihan AADK (PLAK) untuk memasarkan program berkenaan dan ditawarkan kepada pengamal-pengamal rawatan dan pemulihan, pendidikan pencegahan dan penguatkuasaan antidadah di peringkat antarabangsa, terutamanya di negara-negara ASEAN.

Sementara itu, Tuan Sutekno berkata, buat julung kalinya juga PLAK telah membangun dan melaksanakan Program Persijilan Tempat Kerja Bebas Dadah (PPATEKAD) mulai tahun 2022 dan mendapat taraf Penyedia Latihan Berdaftar daripada Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

“PPA-TEKAD ini bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran pendidikan pencegahan dadah kepada majikan-majikan dan pekerjapekerja syarikat swasta bagi merealisasikan matlamat Tempat Kerja Bebas Dadah 2025.

“Pada hari ini (Ahad) AADK akan meraikan graduan sulung program ini seramai 236 orang dalam kalangan pegawai dan kakitangan PETRONAS.

“Namun hanya seramai 30 orang graduan sahaja dijemput khas dan layak diberi tauliah sebagai Pengamal Bertauliah Saringan dan Pengujian Dadah (Certified Drug Screening and Testing, CDST),” ujarnya.

Accessibility Toolbar