Perkasa NGO melalui program TOT

Oleh: Mohd Nazmir Mahadzir

JITRA, 2 Mac 2024 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kubang Pasu telah melaksanakan Program ‘Training of Trainers’ kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar kawasan ini di Pejabat KEMAS, Malau, hari ini.

Program itu bertujuan memberi latihan kepada NGO yang terlibat dalam bidang pencegahan dadah, pelencongan sosial, kebajikan dan mempromosi gaya hidup sihat melalui sesi ceramah dan latihan dalam kumpulan (LDK).

Antara NGO yang turut serta dalam sesi TOT itu termasuklah SKUAD Antidadah Daerah Kubang Pasu, Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) Daerah Kubang Pasu, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Daerah Kubang Pasu, PEMADAM Kubang Pasu, Majlis Belia Daerah Kubang Pasu (MBDKP), YES! POLIMAS, MamaCare, Persatuan Cahaya Harapan, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan COMBI Daerah Kubang Pasu.

Norhiza Lah (tiga dari kiri di hadapan) bergambar bersama peserta-peserta dan ahli jawatankuasa Program TOT NGO di Pejabat KEMAS Malau pada 02 Mac 2024.
Gambar AADK/ Mohd Nazmir Mahadzir

Sesi ceramah telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Antidadah AADK Negeri Pulau Pinang, Nor Hajar Aswat Kamis serta Pengerusi JKPD Daerah Kubang Pasu, Nurun Ihsan Hasbullah.

Dalam ucapan ringkasnya, Ketua AADK Daerah Kubang Pasu, Norhiza Lah berkata, pihaknya berharap melalui program ini, para peserta dapat memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menyebarkan kesedaran dan memainkan peranan aktif dalam usaha pencegahan dadah dan pembangunan masyarakat yang sihat dan berkualiti.

“Program TOT NGO ini diharapkan dapat memberi impak yang positif dalam memperkukuhkan usaha pencegahan dadah serta mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat dalam masyarakat setempat,” ujarnya.

Accessibility Toolbar