Oleh: Fauzi Suhaimi
SINGAPURA, 9 September 2022 – Malaysia dan Singapura komited memperhebat kerjasama dan hubungan dua hala dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah membabitkan dua negara tersebut. Perkara itu dizahirkan menerusi lawatan kerja Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon selama dua hari di Singapura bermula Rabu lalu.
Selain mengadakan Mesyuarat Dua Hala, lawatan kerja itu turut mengadakan kunjungan hormat di beberapa lokasi berkaitan dadah antaranya Singapore Prison Service (SPS) di Selarang Park Complex, Singapura Anti-Narcotics Association (SANA), Central Narcotics Bureau (CNB) dan Pertapis Halfway House Singapore (Pertapis).
Lawatan kerja itu bertujuan merapatkan hubungan kerjasama dan berkongsi kepakaran, pengalaman serta bertukar idea antara dua negara dalam misi membanteras penagihan dan penyalahgunaan dadah. Pelbagai perkara diketengahkan dan dikongsi bersama khususnya dalam aspek pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan dan keselamatan.