Pegawai kanan AADK tawan puncak Bukit Terisek

Oleh: Fauzi Suhaimi

JERANTUT, 29 Jun 2022 – Lebih 60 pegawai kanan termasuk Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berjaya menawan puncak Bukit Terisek di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.

Aktiviti sihat tersebut antara pengisian yang ada dalam Kursus Pembangunan Insan dan Pengukuhan Pasukan Pegawai Kanan AADK.

Ia bertujuan memastikan pegawai AADK mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas selain menyahut seruan kerajaan dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

AADK KUALA TAHAN
Aktiviti pendakian berkenaan mengetengahkan perserta dalam aspek penjagaan alam sekitar, flora dan fauna yang semakin pupus. – Gambar AADK / MUHAMMAD AMIR ZAHIEN AMRAN

Pendakian santai bermula pada jam 9 pagi dengan pengisian mempelajari dan mengenali tumbuhan-tumbuhan dilindungi yang ada di Taman Negara tersebut. Selepas hampir tiga jam mendaki bukit dengan ketinggian 344 meter dari aras laut, semua peserta berjaya menawan puncak.

Pelbagai cabaran dan halangan turut dilalui peserta seperti laluan curam, laluan bertangga dan melepasi jambatan gantung atas pokok terpanjang di dunia berukuran 550 meter dengan ketinggian 40 meter dari permukaan tanah.

Aktiviti berkenaan juga mengetengahkan peserta dalam aspek penjagaan alam sekitar, flora dan fauna yang semakin pupus.

Info tambahan, Taman Negara Kuala Tahan terkenal dalam kalangan penyelidik atau saintis alam sekitar kerana hutan di sini dianggarkan sebagai hutan tertua di dunia dengan usia lebih kurang 130 juta tahun, menjangkaui usia hutan di Amazon.

Terap budaya kerja berpasukan, kebersamaan
Penganjuran Kursus Pembangunan Insan dan Pengukuhan Pasukan Pegawai Kanan di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang selama tiga hari itu bertujuan memperkukuhkan lagi semangat kekitaan melaksanakan tanggungjawab dan memastikan semangat kerjasama dalam pasukan tercapai.

Antara aktiviti diadakan seperti Night Jungle Walk, Canopy Walk, mendaki bukit di Taman Negara Kuala Tahan serta menziarahi perkampungan orang asli Suku Kaum Batik dan Semok Beri.

Turut menjayakan program termasuk Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Chan Hong Jin dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datoโ€™Dr Muhamad Sade Mohamad Amin serta pegawai-pegawai kanan agensi.

Accessibility Toolbar