Oleh: Muhammad Rashdan Mohd Zakaria
KOTA KINABALU, 21 April 2022 – Program Memperkasa Publisiti Dan Kesedaran Awam oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) antara dua kertas pertimbangan diluluskan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Bilangan 1 Negeri Sabah baru-baru ini.
Kelulusan tersebut secara tidak langsung membantu pihak agensi khususnya AADK Sabah dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah dan substan di Negeri Bawah Bayu itu.
Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan meluluskan kertas pertimbangan diusulkan AADK Sabah bagi memastikan negeri itu bebas daripada permasalahan dadah.

Menerusi kelulusan tersebut AADK Sabah terus memperkasakan publisiti kesedaran awam melalui papan iklan jenis diod pemancar cahaya (LED) dan pemasangan papan tanda sebagai salah satu medium penyiaran iklan kempen antidadah.
Inisiatif itu bertujuan menangani permasalahan dadah di setiap Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) dan setiap daerah di Sabah.
Selain AADK, kertas pertimbangan Program Memperkasa Potensi Belia Ke Arah Belia Sejahtera oleh Majlis Belia Negeri Sabah turut diluluskan pada mesyuarat sama yang mengambil pendekatan secara holistik dalam usaha menangani masalah pelencongan sosial belia di negeri berkenaan.
Hadir menyertai mesyuarat itu ialah Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah AADK Negeri Sabah, Nani Sikin.
Siri turun padang
Terdahulu, dalam perkembangan berlainan Tuan Sutekno turut melaksanakan sesi turun padang ke AADK Daerah Beaufort, Sabah.
Dalam sesi lawatan kerja itu beliau diberi taklimat mengenai gerak kerja Ketua Pegawai AADK Daerah Beaufort, Azry Golbin @ Azmi yang memfokuskan kepada tiga bidang utama agensi iaitu Rawatan, Perubatan dan Pemulihan, Pencegahan serta Penguatkuasaan dan Keselamatan.
Pada masa sama, Tuan Sutekno berkesempatan menyampaikan amanat, nasihat, dan teguran kepada kakitangan agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan integriti.
Ini termasuklah, beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga dan klien dalam komuniti.
Tuan Sutekno (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada klien dan keluarga dalam komuniti. – Gambar AADK / Muhammad Amir Zahien Amran
Sementara itu, siri lawatan kerja diteruskan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Papar, Sabah yang bertujuan bersua muka bersama pegawai dan kakitangan, selain memastikan persekitaran, aktiviti termasuk pelaksanaan tugas berada dalam keadaan baik.
Dalam sesi itu, Pengarah PUSPEN Papar, Roswati Apin menyampaikan taklimat berkaitan pengoperasian dan gerak kerja dalam memastikan kepulihan penagihan dadah sepanjang hayat dapat diterjemahkan.
Proses merawat pulih klien di dalam institusi dilaksanakan melalui Model i-Pulih AADK yang dapat membantu dan menyokong mereka dari segi mental, fizikal, rohani, intelektual dan sebagainya.