MTMD Johor Tumpu Pelan Komprehensif Penghijauan di Mukim Plentong, Mersing

Oleh: Ahmad Hakim Baihaqi Mohd Suhaimi

ISKANDAR PUTERI, 5 Oktober 2021 –  Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Johor Bilangan 2 bersetuju untuk melaksanakan Pelan tindakan Komprehensif Penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) di Mukim Plentong dan Mukim Mersing pada tahun ini.

YAB Dato’ Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor bagaimanapun berkata, program inisiatif bersepadu berkenaan turut dilaksanakan secara serentak di semua 17 mukim KBT melalui peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri.

“Merujuk kepada mesyuarat MTMD Negeri Johor Bilangan 1/2021, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menetapkan sebanyak 155 KBT yang disasarkan penghijauan dalam tempoh lima tahun selaras dengan matlamat Dadah Terkawal 2025.

“Justeru, selaras dengan Pelan Strategik AADK 2021 untuk menghijaukan 20 peratus daripada 155 KBT, AADK memfokuskan 30 KBT melibatkan 14 AADK negeri dan 27 AADK daerah. Ia terdiri daripada 23 mukim, dua zon dan lima daerah pentadbiran bagi pelaksanaan Program Inisiatif Bersepadu Menangani Masalah Penyalaguna Dadah, Substan dan Pelencongan Sosial.

“Negeri Johor pula mempunyai 17 mukim KBT dan daripada jumlah itu, fokus penghijauan adalah melibatkan dua kawasan iaitu Mukim Plentong dan Mersing,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat MTMD Negeri Johor Bilangan 2 di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Johor sebelum menghadiri mesyuarat berkenaan yang diadakan secara bersemuka dan atas talian.

Turut sama dalam mesyuarat itu ialah YB Dato’ Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; YB. Tuan Vidyananthan Ramanadhan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor dan Tuan Azli Ubin, Pengarah AADK Negeri Johor.

Dalam pada itu, Hasni berkata, tujuan mesyuarat MTMD diadakan bagi memantau dan memastikan penyelarasan dasar, pelan tindakan, strategi dan program membanteras dadah oleh semua Jabatan/Agensi berkaitan di peringkat negeri dan daerah.

Menurut beliau, melalui mesyuarat tersebut semua pihak membincangkan isu-isu berkaitan penyalahaguna dadah dan cadangan penyelesaian.

“Mesyuarat ini juga dapat mewujudkan kolaboratif yang kukuh dan meningkatkan penglibatan secara bersepadu antara semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merupakan rakan pintar dan rakan strategik AADK dalam menangani permasalahan dadah.

“Kepentingan ini lebih dirasai dalam menghadapi cabaran merealisasi matlamat Dadah Terkawal 2025 dan masalah berkaitan penagihan ini hendaklah ditangani secara serius dan berintergriti,” tegas beliau. Sehubungan itu, katanya lagi, usaha penghijauan itu amat penting bagi memastikan pelaksanaan program yang lebih berkesan dan memberi impak positif kepada kumpulan sasar.

Accessibility Toolbar