MTMD Johor lulus dua kertas pertimbangan

Oleh : Nabil Aziz

JOHOR BAHRU, 19 Jun 2023 – Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2023 diadakan di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Iskandar Puteri, Johor pada Isnin.

Mesyuarat yang berlangsung selama dua jam itu dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dalam ucaptamanya, YAB Menteri Besar turut menyasarkan agar kesemua 17 kawasan berisiko tinggi (KBT) di negeri Johor dapat dihijaukan menjelang hujung tahun hadapan.

Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2023. Gambar AADK / Nabil Abdul Aziz

Sementara itu, dua kertas pertimbangan diluluskan pada mesyuarat kali ini iaitu Pemerkasaan Peranan Duta Perpaduan dan Jiran Muda Melalui Program Pendidikan Pencegahan Dadah oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor serta Program Persijilan Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor.

Kedua-dua usaha itu bagi memastikan usaha penghijauan KBT dapat direalisasikan pihak berkenaan.

Selain itu, satu kertas makluman turut dibentangkan berkaitan pencapaian penghijauan KBT bagi Tahun 2022.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Dr Muhamad Sade Mohamad Amin sempat melakukan kunjung hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan, YB Ling Tian Soon dan YAB Menteri Besar Johor.

Selesai mesyuarat, Dato’ Dr Muhamad Sade turut mengambil kesempatan melihat tapak projek Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Tampoi yang terlibat dengan pembangunan semula.

Turut hadir dalam mesyuarat ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Puan Shubanah  Yusuf; Pengarah AADK Negeri Johor, Azli Ubin; dan Ketua Penolong Pengarah (Urus Setia Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Membanteras Gejala Dadah Negara) AADK, Mohd Nadmin Ramlan.

Accessibility Toolbar