MRT AADK melepasi sasaran

Oleh : Fauzi Suhaimi

KAJANG, 2 Januari 2024 – Perkhidmatan rawatan dan pemulihan bergerak Agensi Antidadah Kebangsaan (MRT AADK) yang mula diperkenalkan sejak 2021 terus diperhebat dengan memperluaskan capaian akses itu kepada mereka yang sukar mendapat akses perkhidmatan AADK.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, bagi tujuan itu, AADK menetapkan perkhidmatan alternatif diluar setting AADK ini menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) dalam memastikan usaha membantu mereka yang terjebak dengan masalah dadah dapat dipulihkan secara menyeluruh.

Katanya, sehingga Disember 2023, MRT AADK melepasi sasaran dengan jumlah klien seramai 8,814 dengan peningkatan sebanyak 57 peratus capaian perkhidmatan MRT di seluruh negara berbanding 3,444 klien pada tahun lalu.

“Selain perkhidmatan teras yang menjadi normalisasi AADK sejak tubuhnya agensi ini, AADK mengorak langkah memperkemas perkhidmatan rawat pulih melalui platform bergerak di luar setting AADK iaitu Mobile Recovery Treatment (MRT AADK) dengan sasaran 3,800 orang klien pada tahun 2023.

“Alhamdulillah, perkhidmatan MRT AADK telah menarik minat klien atas dasar kepercayaan klien sendiri, pakej baru yang diperkenalkan serta mudah diakses,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu sempena dengan Perhimpunan Bulanan Januari AADK di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Tuan Sutekno menambah, MRT AADK juga bukan sahaja dimanfaat oleh klien AADK yang berada di daerah dan institusi tetapi merangkumi Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui kolaborasi rakan strategik.

Ujar beliau, kerjasama itu mendapat penghargaan Jabatan Penjara Malaysia melalui sijil penghargaan kepada AADK.

“Pakar psikiatri Hospital Permai Johor Bahru melalui surat kepada AADK turut memuji dan memperakui kepakaran pasukan MRT AADK memberi khidmat rawatan, perubatan dan pemulihan substance use disorder merangkumi kes klien co-occuring mental health.

“Kita seharusnya berbangga kerana pelaksanaan MRT AADK berjaya diperluas dan logo jenama MRT AADK berjaya didaftarkan di bawah pendaftaran cap dagangan perkhidmatan, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk tempoh 10 tahun.

“Hak eksklusif ini menjadikan produk MRT AADK aset yang bernilai, berkualiti dan diperakui. MRT AADK turut diiktiraf melalui Pertandingan Pameran Projek Inovasi 2023 Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kejayaan merangkul tempat ketiga pada Oktober tahun lalu,”katanya

Accessibility Toolbar