Laporan Sambutan Hari Integriti Nasional Peringkat AADK 2022

Oleh : Unit Integriti , Agensi Antidadah Kebangsaan

07 November 2022 –Hari Integriti Nasional disambut pada 05 November setiap tahun. Pada tahun ini Sambutan Hari Integriti Nasional (SHIN) Peringkat AADK 2022 bertemakan “Integriti Teras Keluarga Malaysia” telah diadakan di Ibu Pejabat AADK secara hybrid. YBrs. Tuan Sutekno Ahmad Belon, Ketua Pengarah AADK dalam ucapan rasminya menekankan 3 teras utama untuk bekerja secara bersama-sama dalam memulihkan Negara daripada kesan pandemik Covid-19 iaitu keterangkuman (inclusivity), kebersamaan (commond ground) dan kesyukuran (contentment). Ia memberi maksud bahawa warga AADK perlu mempunyai nilai kebertanggungjawaban terhadap AADK secara keseluruhan (inclusivity), membudayakan amalan ihsan dalam memupuk semangat kebersamaan (common ground) dan memastikan suasana harmoni dapat dikecapi semasa memberi perkhidmatan dengan kepuasan diri dan kesyukuran (contentment).

Sehubungan itu, YBrs. KP mengingatkan warga akan cabaran yang dihadapi dalam menyemai budaya integriti dalam Keluarga AADK, menjadikan budaya amanah sebagai budaya warga AADK, menjadikan prinsip keadilan dan amalan bermusyawarah sebagai tonggak pengukuhan dan pemantapan tadbir urus AADK.  Seterusnya menerapkan budaya mencintai ilmu dalam kalangan warga, menyuburkan budaya komunikasi berhemah, serta membina akhlak mulia seluruh anggota keluarga AADK.

YBrs. Ketua Pengarah juga mengingatkan pihak pengurusan agar bersikap tegas dan tidak bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan tanpa mengira pangkat. Beliau menyeru kepada semua warga AADK untuk mengorak langkah bersama-sama sebagai sebuah keluarga, merapatkan saf dan berganding bahu memantapkan integriti warga, mengetepikan perbezaan demi mencapai aspirasi jangka panjang yang kalis rasuah, sebagai ramuan asas merealisasikan keluarga AADK yang berintegriti.

Seterusnya sambutan ini diserikan lagi dengan Deklamasi Sajak Integriti oleh Johan Pertandingan Sajak Peringkat AADK, Encik Mohd. Shamier bin Mohd Shakir dari PUSPEN Tiang Dua dan sesi Ceramah Eksekutif: “Integriti Teras Keluarga Malaysia” oleh penceramah terkenal YBhg. Datuk Dr. Zahazan Mohamed. 

#Lebih Baik Cegah #Rasuah Dihina, Maruah Dibina

Laporan Sambutan Hari Integriti Nasional AADK 2022 Peringkat AADK
Laporan Sambutan Hari Integriti Nasional AADK 2022 Peringkat AADK

Accessibility Toolbar