JPA Kemuka Cadangan Penjawat Awam Wajib Vaksinasi

Oleh : Izyan Liyana Mohd Darif

Kajang, 22 September 2021 – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan membawa cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mewajibkan semua penjawat awam mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Menurut pihak JPA beberapa langkah boleh diambil oleh pihak kementerian atau jabatan berdasarkan peraturan semasa sedia ada.

Berdasarkan rekod sehingga kini jumlah peratusan penjawat awam yang sudah vaksinasi mencapai hampir 98 peratus berbanding kelompok yang belum.

“Pun begitu, perkara ini perlu diberi keutamaan bagi memberikan keyakinan dan jaminan untuk orang ramai yang datang berurusan dengan penjawat awam di premis kerajaan.

“Pada masa sama, sebagai usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, JPA akan membawa beberapa pilihan tindakan dan pendekatan untuk diputuskan oleh pihak MKN.

Bagaimanapun, cadangan arahan berkenaan dikecualikan buat penjawat awam yang mempunyai alasan kukuh atas faktor kesihatan.

“Kita hendaklah melindungi diri sendiri sebelum melindungi orang lain,” jelasnya.

Penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993.

Justeru, semua penjawat awam perlu mematuhi peraturan sedia ada termasuk urusan kehadiran bertugas di pejabat apabila diarahkan bertugas oleh Ketua Jabatan.

Accessibility Toolbar