Oleh: Mastura Muklas
KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2021 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terus komited menyalurkan mesej pencegahan penyalahgunaan dadah kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Salah satunya menerusi pelaksanaan Program Omnipresence dan Outreach yang memfokuskan kawasan komuniti dan lokasi tumpuan awam.
Selain menyampaikan maklumat bahana najis dadah program temu seru itu juga bertujuan berkongsi info berkaitan perkhidmatan rawatan dan pemulihan secara sukarela yang disediakan AADK.
Sehubungan itu, dalam usaha mencapai matlamat Dadah Terkawal 2025 pihak AADK Brickfields dengan kerjasama Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi dan Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Brickfields mengadakan Program Omnipresence dan Outreach di kawasan PPR Kerinchi di sini pada 16 Oktober lalu.
Pengerusi JKPD Brickfields, Wadi Hamdan berkata, pelaksanaan program tersebut secara tidak langsung membantu mendaya upaya peranan JKPD merangka strategi proaktif bagi program di lapangan bersama AADK khususnya melibatkan klien dalam komuniti di kawasan berisiko tinggi.
“Pihak JKPD akan memfokuskan program-program penempatan pekerjaan dan peluang perniagaan kepada klien dalam komuniti yang tinggal di kawasan Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
“Selain kerjasama pelbagai pihak komitmen klien itu sendiri juga penting untuk melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik, sekali gus mengekalkan kepulihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Omnipresence dan Outreach di PPR Kerinchi.
Turut turun padang menjayakan program berkenaan ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
Ini termasuklah, wakil Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Belia dan Sukan, Skuad AADK Wilayah Persekutuan, Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya Malaysia dan klien dalam komuniti AADK Brickfields.
AADK Brickfields dengan kerjasama Persatuan Penduduk PPR Kerinchi dan JKPD Brickfields menyalurkan mesej bahana najis dadah menerusi Program Omnipresence dan Outreach di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur pada 16 Oktober lalu. – Gambar AADK/MASTURA MUKLAS.
Program Omnipresence dan Outreach di PPR Kerinchi turut disertai Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (berdiri). – Gambar AADK/MASTURA MUKLAS. Selain lokasi tumpuan pelaksanaan Program Omnipresence dan Outreach dalam usaha menyampaikan maklumat pencegahan penyalahgunaan dadah turut dijalankan di kawasan komuniti. – Gambar AADK/MASTURA MUKLAS