Jerayawara: Perluas mesej, kempen antidadah – Tuan Sutekno

Oleh: Fauzi Suhaimi

RAUB, 11 Jun 2023 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) meneruskan misi jelajah di lokasi Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) menerusi Program Jerayawara sempena Peringatan Hari Antidadah 2023.

Kali ini, jelajah Jerayawara Moh Kecoh Negeri Pahang diadakan di Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong, Raub selama dua hari bermula Sabtu.

Peserta menyaksikan pameran dan sesi soal jawab semasa di Mobile Recovery Treatment (MRT AADK). Gambar AADK / Rashdan Zakaria

Pelbagai aktiviti diadakan seperti kempen pencegahan, pameran perkhidmatan dan advokasi khidmat nasihat penagihan dadah, kaunter Mobile Recovery Treatment (MRT AADK), kaunter pendaftaran SKUAD Antidadah dan sukan rakyat.

Menurut Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon, program itu bertujuan menyebarluas mesej dan kempen antidadah kepada semua masyarakat khususnya keluarga dan kejiranan.

“Program Jerayawara 2023 ini adalah siri jelajah di lokasi-lokasi terpilih daripada 14 buah negeri. Pada tahun ini, Mukim Dong terpilih menjadi destinasi ke tujuh untuk tahun ini.

Sambutan meriah oleh penduduk sempena Program Jerayawara sempena Peringatan Hari Antidadah 2023. Gambar AADK / Rashdan Zakaria

“Program ini adalah salah satu strategi AADK pada tahun 2023 untuk memperluaskan program pencegahan yang AADK jalankan berasaskan kepada Model i-Cegah AADK menerusi pendekatan ‘Pencegahan Bermula di Rumah’,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian program itu di sini, pada Ahad.

Terdahulu EXCO Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal hadir merasmikan program berkenaan.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Abdullah dan Pengarah AADK Negeri Pahang, Zirwatul Ahlam Zamzam.

Accessibility Toolbar