Jangan pandang serong kepada klien PUSPEN AADK

Oleh: Ahmad Ajwad Azman

LARUT, 15 Oktober 2022 – Semua klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sama ada yang sedang menerima rawatan dan pemulihan dalam insititui iaitu Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) atau dalam komuniti tidak harus dipandang serong oleh masyarakat.

Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana, ramai daripada mereka berjaya kekal dalam kepulihan dan membina kehidupan baharu yang baik selepas tamat program rawatan dan pemulihan di AADK.

Beliau berkata, sebahagian daripada mereka ini ada yang berjaya menjadi usahawan, ahli perniagaan malah mencapai tahap tinggi dalam pendidikan.

“Ini semua adalah sesuatu yang kita tekankan kepada klien kita supaya mereka sabar dan bersemangat.

Ada ramai yang berjaya, sampai buka pasar raya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Retreat Media, Sahabat KDN bersama AADK di PUSPEN Batu Kurau di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, YB Dato’ Seri Hamzah juga menasihatkan masyarakat supaya memberi peluang kepada klien PUSPEN yang telah tamat program rawatan dan pemulihan untuk terus memperbaiki diri sekali gus mengelakkan mereka daripada kembali terjerumus dengan masalah penyalahgunaan dadah.

“Tempoh berada di sini yang kita berikan hanya dua tahun kerana selepas itu sepatutnya mereka sudah boleh keluar dan bebas, tetapi pada waktu yang sama selepas setahun kita tengok kalau mereka ada ciri-ciri perubahan ke arah kepulihan, kita boleh mempertimbangkan untuk membolehkan mereka keluar awal,” katanya.

Accessibility Toolbar