JAKIM Sarawak, AADK anjur forum bual bicara kupasan tentang pengorbanan yang sebenar

Oleh: Rashdan Zakaria

KUCHING, 12 Julai 2022 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menganjurkan Forum Bual Bicara: ‘Pengorbanan Yang Sebenar’ sebagai pengisian program Safari Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera 2022.

Forum itu mengupas pelbagai isu berkaitan dengan pengorbanan dalam konteks kepulihan klien dalam institusi AADK sempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang diraikan seluruh umat Islam.

Forum yang diadakan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kuching di Puncak Borneo, di sini menampilkan panel jemputan iaitu Mufti Negeri Sarawak, Datu Kipli Yassin dan Pendakwah Selebriti, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki manakala moderator pula ialah Pegawai Hal Ehwal Agama AADK, Ustaz Afifuddin Abdulmuiz Hamid.

Program keagamaan berkenaan adalah sebahagian daripada komponen dalam Modul i-Pulih AADK dalam aspek spritual memberi sokongan moral dan rohani kepada klien yang sedang melalui proses pemulihan.

jakim forum
Forum Bual Bicara: ‘Pengorbanan Yang Sebenar’ sebahagian daripada komponen dalam Modul i-Pulih AADK dalam aspek spritual memberi sokongan moral dan rohani kepada klien yang sedang melalui proses pemulihan. – Gambar AADK

Terdahulu Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon mengambil kesempatan menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama Pengarah JAKIM Sarawak, Ustaz Hamdan Jar’ee dan klien dalam institusi berkenaan.

Hadir sama menjayakan program ialah Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Pengarah AADK Negeri Sarawak, Iskandar Turkee dan Pengarah PUSPEN Kuching, Yuliani Yahya.

Accessibility Toolbar