Galak pembangunan landskap sebagai terapi terapeutik klien

Oleh: Fauzi Suhaimi

KAJANG – 9 November 2022 – Inisiatif Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melaksanakan Pertandingan Landskap 2022 mampu menggalakkan pembangunan landskap yang lebih ceria dan harmoni khususnya di kawasan pentadbiran masing-masing.

Langkah itu sekali gus boleh dijadikan terapi kepulihan kepada klien yang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) dalam Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, pertandingan yang mengetengah tema Laman Terapi Kepulihan: Kelestarian Alam sekitar bertujuan menggalakkan pembangunan landskap yang terapeutik di sekitar PUSPEN.

Katanya, suasana yang menarik dan ceria mendorong kepada kesihatan mental serta emosi klien yang lebih baik.

Usaha itu juga menurut beliau berupaya mengubah persepsi terhadap kesediaan pemulihan klien yang sedang mengikuti program RPDI di seluruh PUSPEN di bawah seliaan AADK.

“Tahniah diucapkan kepada Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan kerana telah berjaya menyelaraskan Pertandingan Landskap di peringkat PUSPEN.

“Selain mendedahkan klien dalam pembinaan landskap yang menarik, penggunaan bahan kitar semula, juga dapat menerapkan sikap kecintaan terhadap alam sekitar dan menghargai barang-barang yang ada di persekitaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Penutupan Pertandingan Landskap AADK Tahun 2022.

Dalam pada itu, Tuan Sutekno berkata, prinsip program RPDI mengandungi 13 prinsip dan satu daripada prinsip tersebut adalah rawatan efektif dan pelbagai yang merujuk kepada kepelbagaian pendekatan untuk merawat pulih.

“Antara perkara yang menyokong keberkesanan pemulihan adalah persekitaran.

“Persekitaran yang kondusif, teratur, bersih dan berinfomatif berperanan terhadap motivasi klien ke arah kepulihan,” katanya.

Menerusi pertandingan itu, PUSPEN Karak, Pahang dinobat johan manakala PUSPEN Kampung Selamat, Pulau Pinang dan PUSPEN Sungai Ruan, Pahang masing-masing diumumkan tempat kedua dan ketiga bagi pertandingan berkenaan pada tahun ini.

Accessibility Toolbar