Dua KPI utama AADK berjaya dicapai

Oleh : Fauzi Suhaimi

KAJANG, 2 Januari 2024 – Dua petunjuk prestasi utama (KPI) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi tahun 2023 berjaya dicapai sepenuhnya.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, dua KPI tersebut adalah menurunkan Kadar Penagih Dadah agar tidak melebihi 430 bagi setiap 100,000 penduduk dan meningkatkan Kadar Kepulihan Klien sehingga 75 peratus.

Katanya, sehingga September 2023, sebanyak 386 kes direkodkan bagi setiap 100,000 penduduk direkodkan.

“Ini bermakna, AADK masih berada pada landasan yang tepat berdasarkan kepada pencapaian KPI tersebut.

“Jika diimbas pada tahun 2022, sebanyak 420 kes bagi setiap 100,000 penduduk direkodkan berbanding sasaran ialah sebanyak 440 kes.

“Pun begitu, AADK menetapkan sasaran Dadah Terkawal menjelang tahun 2025 adalah sebanyak 400 kes bagi setiap 100,000 penduduk dan kita perlu menyahut cabaran untuk mencapai KPI tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu sempena dengan Perhimpunan Bulanan Januari AADK di Ibu Pejabat AADK, pada Selasa

Tuan Sutekno ketika berucap menyampaikan Amanat Tahun Baharu. – Gambar AADK / Rashdan Zakaria

Mengulas lanjut, Tuan Sutekno berkata, bagi KPI kedua pula, kadar kepulihan klien mencapai tahap 83 peratus melebihi kadar yang disasarkan iaitu sebanyak 75 peratus pada tahun lalu.

Jelas beliau, AADK merawat pulih seramai 50,623 orang klien menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) dan daripada jumlah tersebut, bagi tempoh Januari hingga November 2023, seramai 15,425 klien telah dinilai dan hasil penilaian mendapati seramai 13,022 klien atau 83 peratus mencapai tahap kepulihan.

“Berbanding dengan tahun 2022, AADK merawat pulih seramai 44,754 penagih dan daripada jumlah itu, seramai 19,440 klien telah dinilai dan hasil penilaian itu mendapati seramai 14,008 atau 71 peratus klien mencapai tahap kepulihan.

“Ini bermakna, AADK berjaya menyahut cabaran YB Menteri Dalam Negeri dengan mengatasi kadar sasaran awal bagi KPI ini iaitu sebanyak 75 peratus.
Tambahnya lagi, pencapaian ini dinilai menerusi kaedah Cure and Care Recovery Index (CCRI) dan berjaya mencapai KPI yang ditetapkan.

Accessibility Toolbar