AADK tetap dua penanda aras utama ukur KPI 2023

Oleh: Fauzi Suhaimi dan Hakim Suhaimi

BENTONG, 6 Disember 2023 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menetapkan dua penanda aras utama bagi mengukur petunjuk prestasi utama (KPI) dalam Pelan Strategik AADK bagi tahun 2023.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, dua penanda aras tersebut meliput usaha penurunan kadar penagih dadah (tidak melebihi 400 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Kata beliau, penanda aras kedua pula ialah melibatkan usaha untuk meningkatkan kadar kepulihan klien sehingga 80 peratus menjelang tahun 2025.

“Objektif penganjuran retreat ini adalah bagi menilai pelaksanaan dan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) untuk lima teras utama bagi tahun 2023.

“Selain itu, retreat ini juga dilaksanakan bagi memastikan isu-isu berbangkit yang timbul dalam pelaksanaan Pelan Strategik AADK Tahun 2023 dapat ditangani dengan lebih efisien.

“Diharap usaha ini dapat mengeratkan ukhuwah serta menguatkan semangat kerjasama dalam kalangan peserta agar dapat mengelakkan budaya kerja secara silo dalam memuktamadkan way forward pelaksanaan Pelan Strategik AADK Tahun 2024,” katanya ketika di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Retreat Pelan Strategik AADK 2024 Peringkat Pengurusan dan Majlis Penghargaan Ketua Pusat Tanggungjawab (PTj) di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT), di Bukit Tinggi, Pahang.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Tuan Khairul Anwar Bachok dan 75 peserta terdiri daripada pengarah bahagian, ketua unit, pengarah AADK negeri dan pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).

Dalam pada itu, Tuan Sutekno menambah, Pelan Strategik AADK Tahun 2021-2025 merangkumi lima teras utama iaitu, Teras 1 Pendidikan Pencegahan; Teras 2 Rawatan, Perubatan dan Pemulihan; Teras 3 Penguatkuasaan dan Keselamatan; Teras 4 Hubungan Antarabangsa; dan Teras 5 Pemantapan Organisasi.

“Semoga platform yang dianjurkan hari ini menjadi wadah untuk warga AADK dalam usaha menyumbang cetusan idea berkaitan prestasi tahun 2023 sekali gus melihat hala tuju bagi pelaksanaan Pelan Strategik AADK Tahun 2024,” ujarnya.

Accessibility Toolbar