AADK sertai Konvensyen Integriti Negeri Kelantan 2023

Oleh : Fadhlan Salleh

KOTA BHARU, 2 November 2023 – Setiausaha Kerajaan Kelantan telah mengadakan Majlis Konvensyen Integriti Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan pada Khamis.

Program itu menekankan aspek integriti dalam perkhidmatan terhadap penjawat awam di negeri berkenaan.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, integriti ialah ihsan yakni kesedaran seolah-oleh melihat Allah dengan mata hati iaitu berasa sentiasa dilihat oleh Allah SWT.

“Sifat mahmudah tersebut akan melahirkan individu yang tulus kerana yakin akan setiap amalannya bakal dihitung.

“Konsep integrasi yang lebih besar ialah ketepatan waktu dan penyampaian maklumat sahih serta pergaulan murni sesama rakan sekerja,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvensyen Integriti Negeri Kelantan 2023.

Menurutnya lagi, program Ubudiyyah, Mas’uliyah dan Itqan (UMI) saban minggu dilaksanakan di setiap jabatan yang membuktikan kerajaan negeri sangat serius dalam memperkasakan budaya kerja berintegriti.

Beliau juga menyeru penjawat awam di negeri Kelantan menyertai program Diploma Tassawur Islam di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang mampu menambah kecekapan, keilmuan dan kefahaman agama penjawat awam.

Seramai 30 orang warga AADK negeri Kelantan turut hadir yang diketuai oleh Pengarah AADK Kelantan, Tuan Nik Muhamad Nik Dir.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Kaya Setia Datuk Haji Nazran Muhammad.

Accessibility Toolbar