275 Juta Penagih Dadah Sedunia

KAJANG, 28 Jun – Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Dadah dan Jenayah (UNODC) menerusi Laporan Dadah Sedunia menyasarkan kira-kira 275 juta orang terlibat dengan penggunaan dadah bagi tahun 2020.

Daripada jumlah itu, seramai 36 juta orang menghidapi penyakit kecelaruan yang disebabkan oleh pengambilan dadah.

Seperti yang diketahui umum, pengambilan dadah bukan sahaja memudaratkan kesihatan tubuh badan, malah ianya juga boleh merosakkan masa hadapan.

Bersempena dengan Hari Antidadah Antarabangsa (HADA2021) yang disambut pada 26 Jun 2021, masej ‘Kongsi Fakta Dadah, Selamatkan Nyawa’ dijadikan tema untuk dibawa sebagai tunjang utama dalam usaha semua pihak bagi membanteras gejala penagihan dadah.

Perkongsian fakta dadah daripada aspek pencegahan dan rawatan perlu berdasarkan bukti yang datang daripada sumber informasi kukuh untuk menyebarkan maklumat yang tepat kepada orang awam.

Menurut UNODC juga, usaha dalam mengenal pasti sebarang strategi baruย  menyeludup dadah harus diperketatkan agar dapat membantu setiap negara dalam memberi amaran kepada masyarakat sedunia.

Meskipun dunia sedang berhadapan dengan krisis wabak Covid-19, aktiviti penyeludupan dadah masih giat dijalankan menerusi pengangkutan jet peribadi, laluan air dan sebagainya.

Oleh itu, isu ini perlu diberi perhatian yang teliti agar aktiviti ini dapat dibendung.

Sementara itu, Sebanyak 17 program sesi dialog antara pelbagai pihak dianjurkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sempena dengan HADA 2021.

Program berbentuk bual bicara anjuran Bahagian Pencegahan dengan kerjasama AADK Negeri berkenaan membincangkan pelbagai tajuk menarik dengan tumpuan utama ialah kepada tema HADA 2021.

Kesemua program itu dijalankan secara maya menerusi siaran langsung di saluran Facebook AADK negeri masing-masing.

Sementara itu, Unit Antarabangsa AADK turut menganjurkan Siri Webinar Drug Treatment Training for ASEAN Member States 2021 secara dalam talian melibatkan 10 buah negara anggota ASEAN pada 13 hingga 23 Julai depan.

Penggunaan platform sosial media digunakan bagi sambutan kali ini kerana melihat kepada situasi pandemik Covid-19 selain mematahui prosedur operasi standard (SOP) dan usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak berkenaan.

Accessibility Toolbar