Pembaharuan perkhidmatan awam – KSN

Oleh: Fauzi Suhaimi

PUTRAJAYA, 13 Februari 2024 – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali menegaskan, keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk melaksanakan pembaharuan terhadap perkhidmatan awam merangkumi peningkatan kecekapan, keberkesanan dan profesionalisme penjawat awam.

Beliau berkata, usaha itu bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang telus, pantas dan mencapai keberhasilan yang ditetapkan.

“Untuk tahun 2024 ini keutamaan saya adalah kepada civil service reform – islah masta to’tum dengan menerajui perubahan yang berterusan yang menyasarkan pengurangan ketirisan, peningkatan hasil dan pengoptimuman sumber sedia ada tanpa pembaziran.

“Ini sekaligus akan memberi limpahan kebaikan kepada negara dan akan terus dapat dirasai semula oleh penjawat awam melalui sistem saraan yang lebih relevan dengan kos sara hidup semasa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat KSN Tahun 2024 ‘Kita Benteng Malaysia’ di Puspanitapuri, Putrajaya, pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Civil Reform yang akan dilaksanakan itu akan berdasarkan kepada dua perkara utama, iaitu aspek ‘Modal Insan dalam Perkhidmatan Awam serta ‘Pelaksanaan Dasar dan Penyampaian Perkhidmatan’.

AmanatKSN130224
Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali berucap ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam. – Gambar AADK / Amir Zahien

“Seperti yang semua sedia maklum, Kerajaan sedang giat melaksanakan fasa akhir bagi Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu.

“Kita telah pun menyerahkan Laporan interim yang pertama kepada YAB Perdana Menteri pada 19 Januari 2024.

Tambah beliau lagi, pelaksanaan SSPA itu mesti diberikan keutamaan kerana menjadi tunjang utama usaha pembaharuan yang akan menentukan keberhasilan dan produktiviti penjawat awam.

“Memang sudah sampai pun masanya untuk kita beri suntikan baharu ke dalam sistem saraan sedia ada untuk membuat reformasi.

“Tempoh 20 tahun lebih pelaksanaan sistem sedia ada juga dilihat tidak lagi relevan, apatah lagi sekarang ini kos sara hidup kian meningkat,” jelasnya.

Terdahulu majlis itu turut dihadiri barisan Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi termasuk Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan, Tuan Sutekno Ahmad Belon.

Accessibility Toolbar