MYDPS: Pengesanan secara aktif OYDS

Oleh: Siti Syakilah binti Muhd Khir

KAJANG, 6 Mac 2023 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) giat meningkatkan pemanfaatan data dalam perancangan serta pembuatan keputusan dalam agensi menerusi pengesanan secara aktif orang yang disyaki (OYDS) menyalahguna dan menagih dadah di setiap daerah dengan lebih berkesan.

Kaedah itu diperhebat selepas AADK berjaya membangunkan satu produk data iaitu Malaysia Drug Profiling System (MyDPS) bagi memperkasakan gerak kerja khususnya dalam aspek pengesanan OYDS secara bersasar dan efisien.

Bagi memastikan usaha itu dapat dikembangkan, sebilangan pegawai AADK terlibat menghadiri beberapa sesi bengkel pengukuhan produk data yang diadakan di Theaterette, Ibu Pejabat AADK, pada Isnin.

Produk data berkenaan dijayakan dengan kerjasama Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) melalui inisiatif Analitis Data Raya Sektor Awam (DRSA).

Perkara itu secara tidak langsung untuk memastikan hala tuju AADK 2023 berkenaan dengan pembangunan sistem profiling yang merangkumi data penagih dadah dan anggaran penagih dadah di Malaysia dapat dicapai dengan jayanya.

Terdahulu bengkel dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Chan Hong Jin.

Accessibility Toolbar