MTMD Sarawak: Lulus program TEKAD, Kesedaran Awam AADK bersama JPJ

Oleh: Fauzi Suhaimi

KUCHING, 12 April 2022 – Dua kertas pertimbangan iaitu Membanteras Penyalahgunaan Dadah & Substans di Tempat Kerja atau Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) dan kolaboratif Program Kesedaran Awam Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak bagi Sektor Pengangkutan (Institut Memandu) diluluskan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Bilangan 1 Negeri Sarawak yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak.

Premier Sarawak, YAB Tan Sri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan bersetuju dan meluluskan dua kertas pertimbangan yang diusulkan bagi memastikan negeri Sarawak bebas daripada masalah penyalahgunaan dadah.

Program Membanteras Penyalahgunaan Dadah & Substans di Tempat Kerja bertujuan memberi pengetahuan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan substans kepada majikan serta pekerja di samping dapat mewujudkan persekitaran tempat kerja yang sihat.

Pada masa sama turut diluluskan ialah Program Kesedaran Awam AADK dan JPJ Negeri Sarawak bagi Sektor Pengangkutan (Institut Memandu) yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan substans dalam pemanduan sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan kes pemandu di bawah pengaruh dadah.

Hadir menyertai mesyuarat itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak- Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, YB Dato Sri Fatimah Abdullah; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, YB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Amir Omar dan Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon.

Lawatan kerja KP ke AADK Sarawak

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan Tuan Sutekno Ahmad Belon meneruskan siri lawatan kerja ke AADK Sarawak. Lawatan kerja itu bagi melihat pengoperasian, meninjau fasiliti pejabat AADK negeri, selain beramah-mesra dengan warga agensi di negeri tersebut.

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan amanat, nasihat dan teguran kepada warga kerja AADK Sarawak bagi memastikan perkhidmatan agensi terus diperkasakan dan kekal relevan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Pengarah AADK negeri, Iskandar Turkee pula berkongsi taklimat gerak kerja yang memfokuskan kepada tiga komponen utama agensi iaitu Rawatan, Perubatan dan Pemulihan; Pencegahan serta Penguatkuasaan dan Keselamatan.

Accessibility Toolbar