MTMD: AADK Johor Sasar Penghijauan 17 KBT Menjelang 2025

Oleh: Salehuddin Sa’ya

ISKANDAR PUTERI, 5 Oktober 2021 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor menyasarkan sebanyak 17 kawasan berisiko tinggi (KBT) dapat dihijaukan menjelang tahun 2025

Pengarahnya, Tuan Azli Ubin berkata, daripada jumlah itu sebanyak dua KBT akan dihijaukan pada tahun ini manakala masing-masing empat KBT pada tahun 2022 hingga 2024 dan tiga KBT pada tahun 2025.

Beliau memberitahu, pendekatan penghijaun KBT itu mengambil kira lima strategi iaitu mencegah penagihan baharu dan mengekalkan kadar kepulihan.

“AADK Johor juga mengambil inisiatif meningkatkan pengesanan penagih dadah, meningkatkan kerjasama dan penglibatan agensi atau komuniti serta menyekat kemasukan dadah.

“Selain itu, empat fasa tindakan penghijauan KBT diguna AADK iaitu fasa pembersihan melibatkan usaha memutuskan rantaian permintaan dan penawaran dadah manakala fasa kedua pula ialah tindakan intervensi kepada kumpulan sasar serta kawasan terkesan isu dadah.

“Fasa ketiga pula ialah aspek pengukuhan yang memfokuskan program susulan kepada kumpulan sasar bagi peneguhan faktor pelindung manakala fasa empat pula menyentuh aspek pengekalan dengan penglibatan dan komitmen yang tinggi oleh komuniti dalam isu penagihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Kertas Pemakluman Pencapaian Inisiatif Bersepadu Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah, Substan dan Pelencongan Sosial pada Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Bilangan 2 2021 di Pejabat Menteri Besar Johor di sini pada Selasa. Terdahulu YAB Dato’ Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang turut disertai Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon dan wakil-wakil agensi serta jabatan.

Accessibility Toolbar