MRT perkhidmatan baharu rawat, pulih luar fasiliti AADK

Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif

KAJANG, 20 Mei 2022 – Kementerian Dalam Negeri KDN) menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memperkenalkan perkhidmatan Rawatan Pemulihan Bergerak (MRT) di bawah Program Rawatan dan Pemulihan Dadah AADK di sini hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, perkhidmatan baharu yang mengetengahkan konsep ‘AADK Kepada Anda’ itu bertujuan memastikan setiap individu terlibat masalah penagihan dadah mendapat rawatan dan pemulihan sewajarnya.

Justeru, bersesuaian dengan perubahan trend penagihan dadah, pendekatan baharu perlu dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan MRT AADK relevan seiring dasar semasa kerajaan.

“MRT AADK disediakan bagi memberi perkhidmatan kepada kumpulan khusus yang mempunyai kekangan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah di fasiliti AADK.

“Perkhidmatan ini (MRT AADK) disediakan di luar premis AADK dan akan dilaksanakan oleh Pasukan MRT AADK di 14 buah pejabat AADK Negeri di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran MRT AADK di Ibu Pejabat AADK, Kajang, Selangor.

Turut menjayakan majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha KDN, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Chan Hong Jin dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin.

28 buah pasukan MRT di seluruh negara
Pada masa ini, AADK menyampaikan perkhidmatan merawat pulih melalui dua saluran perkhidmatan iaitu Program Rawatan dan Pemulihan secara in situ yang memerlukan klien atau individu menghadirkan diri ke fasiliti AADK sama ada di pejabat AADK Daerah atau Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) yang ditentukan.

Selain itu, perkhidmatan AADK juga boleh diaskes secara atas talian melalui Hotline AADK. Melalui saluran perkhidmatan tersebut rujukan dan advokasi disediakan untuk membantu klien terlibat permasalahan dadah. Pun begitu, menurut Tuan Sutekno saluran itu lebih banyak digunakan oleh orang awam untuk membuat aduan berhubung kes-kes penagihan dadah sahaja.

Sehubungan itu, menyedari bahawa ada golongan tercicir atau sukar mendapatkan akses kepada perkhidmatan rawat pulih disediakan AADK secara in situ atau melalui Hotline AADK, para pegawai pemulihan AADK telah mencadangkan satu inistiatif membuka satu lagi saluran bagi menyampaikan perkhidmatan rawatan dan pemulihan penagihan dadah dikenali MRT AADK.

“Saluran perkhidmatan baharu ini dijangka dapat memberikan akses kepada mereka yang mengalami masalah logistik, kewangan atau kekangan perundangan dan peraturan untuk hadir ke fasiliti disediakan AADK.

“Bagi melaksanakan inistiatif ini, AADK telah menubuhkan sebanyak 28 buah pasukan MRT di seluruh negara.

“Sejajar dengan itu, seramai 110 orang pegawai pemulihan AADK dilantik dan dipilih sebagai berdasarkan attitude, skill, and knowledge selaras dengan keperluan rawatan dan pemulihan yang perlu bergerak seiring dengan perubahan profil kumpulan sasar dan jenis- jenis dadah yang digunakan,” katanya lanjut.

Accessibility Toolbar