Malaysia sertai SOMTC 2023

Oleh: Unit Antarabangsa

YOGYAKARTA, 21 Jun 2023 – Malaysia menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)  menyertai 23rd ASEAN Senior Officials Meeting on Transnational Crime (23rd SOMTC) and Its Related Meetings pada 19 hingga 21 Jun 2023 di Yogyakarta, Indonesia.

Untuk tahun ini, Indonesia menjadi tuan rumah sekali gus mempengerusikan mesyuarat berkenaan menerusi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Polis Negara Indonesia merangkap Pengerusi SOMTC.

Mesyuarat 23rd SOMTC itu menjadi platform di peringkat antarabangsa, serantau dan nasional dalam memerangi jenayah transnasional khususnya di rantau ASEAN.

Antara tujuan lain mesyuarat berkenaan adalah untuk meningkatkan kerjasama dan meneroka peluang baharu bagi pelaksanaan projek di bawah SOMTC bersama negara konsultasi lain seperti Jepun, China, Korea Selatan, Amerika Syarikat, New Zealand, Kanada, Australia dan India.

Malaysia diwakili oleh Pengerusi 43rd ASEAN Senior Officials Meeting on Drug Matters (43rd ASOD) yang juga Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon telah hadir bersama-sama pegawai kanan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Dr. Abdul Gapar Abu Bakar dan Setiausaha Bahagian Antarabangsa, Mohd Azlan Razali.

Sebagai pengerusi ASOD, Tuan Sutekno telah membuat  pembentangan mengenai trend semasa masalah dadah di negara ASEAN dan usahasama serantau dalam menentang pengedaran bahan terlarang itu.

Perkara lain yang turut dibincangkan semasa mesyuarat 23rd SOMTC berlangsung adalah mengenai isu-isu jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan senjata, keganasan, penggubahan wang haram, lanun laut, penyeludupan dan pemerdagangan orang, jenayah ekonomi antarabangsa, jenayah siber, pengedaran dadah, pemerdagangan haram hidupan liar dan produk kayu.

Accessibility Toolbar