Lebih sejuta rakyat Malaysia terlibat penagihan dadah

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat

PUTRAJAYA, 10 Julai 2023 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menganggarkan seramai 1,097,408 rakyat Malaysia terlibat dengan aktiviti penagihan dadah di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebihnya membimbangkan apabila 328,640 daripada jumlah itu adalah golongan belia yang berumur antara 15 hingga 29 tahun.

“Daripada jumlah itu juga,1,051,712 adalah penagih lelaki manakala 45,696 lagi penagih wanita.

โ€œMalah, dapatan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2020 menunjukkan setiap 100 orang belia di negara ini, enam daripadanya mengaku pernah mengambil dadah manakala empat lagi mengaku masih aktif mengambil dadah pada tempoh kajian dijalankan,โ€ katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gelaja Dadah (JKMD) Bilangan 1 bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui AADK pada hari Isnin.

Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, susulan daripada isu berkenaan, KDN menerusi AADK perlu menyelaras dan mengkoordinasi program melibatkan beberapa kementerian, jabatan dan agensi berkaitan untuk membendung isu berkenaan.

“Justeru, saya memberi tempoh selama tiga bulan kepada KDN dan AADK agar mengusahakan koordinasi di antara beberapa agensi yang berkaitan untuk merangka, menyusun inisiatif atau program yang efektif dan bermanfaat.

“Langkah ini bagi memastikan gejala dadah dapat dibendung dengan lebih berkesan di samping mengusahakan pemulihan kepada penagih dadah sedia ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menambah, mesyuarat juga bersetuju bagi memastikan pemerkasaan undang-undang diperkukuhkan bagi mencegah penyalahgunaan dadah ini di semua peringkat.

โ€œKeberkesanan tentang penguatkuasaan undang-undang di dalam negara juga akan diperhalusi bagi menangani penyalahgunaan dadah secara tuntas.

โ€œAkhirnya, keberkesanaan atau kejayaan dikaji bukan terhadap jumlah yang dipulihkan, tetapi kepada jumlah tangkapan atau pengurangan jumlah penagih di dalam negara secara keseluruhannya,โ€ ujarnya.

Hadir sama dalam mesyuarat ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Seri Azalina Othman Said; Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi dan Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon.

Accessibility Toolbar