Fokus kepada sasaran 75 peratus kadar kepulihan klien – TKPO

Oleh: Amir Zahien Amran dan Ct Ashlida Mat Razali

KOTA KINABALU, 7 Mac 2023 – Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Dr Muhamad Sade Mohamad Amin meneruskan sesi tinjauan ke pejabat AADK Negeri Sabah dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Papar, Sabah pada Selasa.

Dato’ Dr Muhamad Sade turut menyampaikan amanat dan nasihat kepada kakitangan agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan integriti sekali gus meminta agar semua pegawai untuk memberi fokus kepada sasaran 75 peratus kadar klien kekal dalam kepulihan.

Pada masa sama, Dato’ Dr Muhamad Sade turut meningatkan supaya AADK Sabah perlu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan antaranya memastikan lima indikator perlu dilaksanakan secara konsisten bagi kawasan yang dikenalpasti sebagai Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) dapat dihijaukan dalam tempoh ditetapkan bagi merealisasikan Dadah Terkawal 2025 dapat dicapai.

Dalam lawatan ke PUSPEN Papar, Sabah, Dato’ Dr Muhamad Sade mengingatkan kepada warga kerja supaya menekankan dari segi keselamatan kawasan PUSPEN dan pelaksanaan silibus melalui model i-Pulih AADK yang perlu digunakan secara holistik kepada klien.

Selain itu, Dato’ Dr Muhamad Sade sempat beramah mesra dan melawat fasiliti AADK Sabah dan PUSPEN Papar, Sabah serta merasmikan Taman Lestari sebagai laman terapi klien di PUSPEN tersebut.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Dr Muhamad Sade mengadakan kunjung hormat kepada Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Ustaz Abdul Manap Lakariba di pejabatnya.

Kunjungan itu bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan yang sedia terjalin serta memperhebat kerjasama antara agensi dengan Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Sabah.

Antara lain yang dibincangkan adalah pelaksanaan solat Fardu Jumaat kepada klien dalam institusi di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Papar, Sabah.

Turut hadir Pengarah AADK Negeri Sabah, Nani Sikin; Ketua Penolong Pengarah (Agama), Nor Aimi Mohd Tahir dan Pengarah PUSPEN Papar, Roswati Apin.

Accessibility Toolbar