Banjir Baling: AADK hantar misi bantuan

Oleh: Unit Media Komunikasi Korporat

KAJANG, 8 Julai 2022 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melaksanakan misi bantuan pascabanjir di Kampung Iboi, Baling, Kedah yang terjejas akibat banjir dan fenomena kepala air sejak Khamis.

Seramai 150 anggota terdiri daripada kakitangan, sukarelawan Skuad Antidadah, Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) dan klien dalam komuniti dikerahkan menyertai misi bantuan Op Bantu yang digerakkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Inisiatif tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) KDN bersama agensi dan jabatan termasuk AADK bagi meringankan beban dihadapi mangsa banjir.

Pada masa sama, selari dengan usaha agensi yang bukan sahaja komited membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini, bahkan sentiasa bersiap-siaga turun padang membantu dalam apa jua bentuk kecemasan dan bencana yang berlaku.

Kumpulan sukarelawan misi bantuan Op Bantu berkenaan turut melibatkan warga kerja AADK pejabat AADK Kedah, pejabat AADK Pulau Pinang, pejabat AADK Perlis, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kampung Selamat dan PUSPEN Karangan.

Dalam misi tersebut antara bantuan disalurkan adalah seperti kerja-kerja pembersihan di kawasan perumahan, tempat awam termasuk surau, dewan dan taman-taman awam.

Terdahulu, kejadian banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah pada Isnin lalu telah mengorbankan tiga beranak manakala tujuh rumah musnah dek dihanyutkan arus deras.

Accessibility Toolbar