AktifGISPgGov: AADK Pulau Pinang menang lagi

Oleh: Nor Hajar Aswat Kamis

GEORGETOWN, 1 November 2023 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pulau Pinang dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam Pertandingan #AktifGISPgGov anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Kemenangan ini adalah yang ketiga diperolehi melalui Sistem yang menggunakan teknologi geospatial (GIS) yang dinamakan sebagai Sistem iREFER.

Keputusan itu diumumkan semasa Seminar Kerajaan Digital (SKD) 2023 yang berlangsung pada 26 Oktober 2023 yang lalu bertempat di The Wembley – A St Giles Hotel, Pulau Pinang.

Hadiah telah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB. Dato’ Haji Rosli Bin Isa.

AADK Negeri Pulau Pinang diwakili oleh Ketua Projek Sistem iRefer, Zulfadli Akmal Ahmad Zakaria telah hadir bagi menerima hadiah tersebut.

Pemenang tempat pertama bagi kategori yang sama adalah Majlis Bandaraya Pulau Pinang manakala tempat kedua jatuh kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

#AktifGISPgGov adalah pengiktirafan kepada jabatan atau agensi yang aktif menggunakan teknologi geospatial (GIS) sama ada pengguna, pembekal data atau pembekal perkhidmatan GIS.

Sistem iREFER merupakan sistem profiling, berbentuk digital PEGIS map browser. Gambar AADK | Nor Hajar Aswat Kamis

Sistem iREFER yang dibangunkan ini adalah satu sistem profiling kawasan penagihan dadah dan berisiko tinggi (KBT) di Negeri Pulau Pinang dalam bentuk digital yang menggunakan PEGIS map browser.

(SKD) Tahun 2023 yang bertemakan “Kerajaan Digital: Meneroka Potensi Kemunculan Teknologi Baharu” merupakan program tahunan yang bermula pada tahun 2014 di mana Objektif seminar ini adalah untuk memberi pendedahan dan perkongsian ilmu, idea serta pengalaman ke arah meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui pelaksanaan Kerajaan Digital.

Seminar ini juga diharap dapat memperkukuh dan meningkatkan strategi pelaksanaan Keselamatan ICT dengan memanfaatkan keupayaan teknologi terkini secara optimum.

SKD 2023 merupakan antara usaha Kerajaan Negeri untuk memantapkan pembudayaan ICT di kalangan warga kerja perkhidmatan awam negeri sebagai pekerja berilmu yang mampu mengoptimumkan penggunaan teknologi digital dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Accessibility Toolbar