Sukan erat hubungan antara AADK, SKUAD Antidadah

Oleh : Tn Khairul Farrizan Tn Abdullah Zawawi

KEPALA BATAS, 19 Mac 2023 – Sukarelawan SKUAD Antidadah Daerah Seberang Perai Utara dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Seberang Perai Utara menganjurkan Kejohanan Tertutup Bola Sepak Piala SKUAD Antidadah Peringkat Negeri Pulau Pinang bertempat di Stadium Kompleks Sukan Bertam, di sini, pada Ahad.

Sebanyak empat pasukan menyertai kejohanan tersebut iaitu SKUAD Antidadah Daerah Seberang Perai Utara; SKUAD Antidadah Daerah Timur Laut; SKUAD Antidadah Daerah Barat Daya dan SKUAD Antidadah Daerah Seberang Perai Tengah.

Menurut Pengarah AADK Negeri Pulau Pinang, Elmariah Chung, program itu dilaksanakan bertujuan melahirkan belia aktif dan mempunyai pengetahuan tentang bahaya dadah.

Selain itu, menurut beliau, peranan Ahli SKUAD Antidadah juga amat penting dalam membantu pihak AADK menyalurkan maklumat kepada masyarakat dan mempromosi gaya hidup sihat melalui sukan.

“Kejohanan kali ini telah di menangi oleh juara bertahan SKUAD Antidadah Daerah Barat Daya, Naib Johan SKUAD Antidadah Daerah Seberang Perai Utara dan tempat Ketiga dinobatkan kepada SKUAD Antidadah Daerah Seberang Perai Tengah,” katanya di sini, baru-baru ini.

Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Pengerusi SKUAD Antidadah Negeri Pulau Pinang, Khalid Zakaria.

Accessibility Toolbar