Jadikan model i-Pulih AADK sebagai panduan utama rawat pulih klien

Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif

BATU KURAU, 22 Julai 2022 – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon menegaskan, Model i-Pulih AADK perlu dijadikan sebagai panduan utama dalam program rawatan dan pemulihan di institusi mahupun komuniti.

Ini kerana pelaksanaan panduan itu amat bertepatan kerana bersifat komprehensif dan holistik yang meliputi keseluruhan perkara termasuk membantu dan menyokong klien dari segi mental, fizikal, rohani dan intelektual.

Usaha itu perlu diberi fokus utama berikutan penagihan dadah adalah sejenis penyakit kronik dan berulang-ulang melibatkan struktur otak dan menyebabkan perubahan pada sistem kognitif, psikologi dan tingkah laku.

Batu Kurau
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon ketika mengadakan Lawatan Kerja Ketua Pengarah AADK di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Batu Kurau, Perak baru-baru ini. – Gambar AADK / AMIR ZAHIEN

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Kerja Ketua Pengarah AADK di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Batu Kurau, Perak baru-baru ini.

Lawatan kerja bertujuan bersua muka bersama pegawai dan kakitangan di Pusat Tanggungjawab (PTj) berkenaan selain memastikan persekitaran, aktiviti termasuk pelaksanaan tugas berada dalam keadaan baik.

Dalam sesi itu, Ketua Pengarah diberikan taklimat oleh Pengarah PUSPEN Batu Kurau, Mohammad Nor Musa berkaitan pengoperasian dan gerak kerja bagi memastikan kepulihan penagihan dadah dalam kalangan klien kekal sepanjang hayat.

Selain itu, Tuan Sutekno turut menyampaikan amanat, nasihat, dan teguran kepada kakitangan agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan integriti.

Pada masa sama, beliau juga beramah mesra dan menunaikan solat Jumaat bersama kumpulan klien di PUSPEN Batu Kurau.

Turut hadir dalam sesi lawatan kerja ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin; Ketua Penolong Pengarah Pemulihan Dalam Institusi Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Rujhan Ramli dan Pengarah AADK Negeri Perak, Mohd Azizi Salleh.

Accessibility Toolbar