Pencegahan penyalahguna dadah sintetik perlu diambil perhatian – Datuk Jonathan

Oleh: Fauzi Suhaimi

RANAU, 25 Jun 2022 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sentiasa komited dalam usaha menangani permasalahan dadah yang semakin mencabar di negara ini bagi melahirkan Keluarga Malaysia selamat dan sejahtera.

Satu daripadanya penganjuran Hari AADK Bersama Masyarakat sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2022 (HADK 2022).

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin, matlamat utama program itu adalah untuk memberi kesedaran mengenai ancaman dadah dan merancang pelan tindakan holistik membendung permasalahan dadah khususnya di negeri tersebut.

hadk ranau
KDN menerusi AADK sentiasa komited menangani permasalahan dadah bagi melahirkan Keluarga Malaysia selamat dan sejahtera. – Gambar AADK / MUHAMMAD RASHDAN MOHD ZAKARIA

“Sebanyak 12 kawasan di Sabah seperti Likas, Inanam, Penampang, Merotai, Balung dan Tanjung Batu dikenal pasti Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) dan perlu dihijaukan menjelang tahun 2025.

“Data menunjukkan 99 peratus penagih di negeri ini (Sabah) mengambil dadah sintetik jenis syabu berikutan mudah didapati di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Peringatan HADK 2022 peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat Ranau di sini.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan bahawa kerjasama semua pihak menyokong usaha kerajaan secara tidak langsung mewujudkan persekitaran sihat, sekali gus membantu memerangi masalah dadah, substan dan bahan terlarang dalam komuniti masing-masing.

hadk ranau
Pelbagai aktiviti dan persembahan kebudayaan disediakan buat para pengungung yang hadir memeriahkan Sambutan Peringatan HADK 2022 peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat Ranau, Sabah.

Pesanan buat peminat muzik buskers

Dalam berkembangan berkaitan AADK meneruskan kempen menyalurkan mesej antidadah kepada warga Ranau dalam Pertandingan Muzik Buskers di Dewan Masyarakat Ranau, Sabah.

Kempen yang dilaksanakan bersempena sambutan peringatan HADK 2022 Peringkat Negeri Sabah itu bertujuan menyampaikan pesanan khidmat nasihat dan pameran perkhidmatan agar tidak terjebak dengan permasalahan dadah.

hadk ranau
Tuan Sutekno (lima dari kanan) menyampaikan hadiah kepada peserta Pertandingan Muzik Buskers.
hadk ranau

Hadir menjayakan program itu ialah Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon; Setiausaha Bahagian Kepenjaraan, Antidadah dan RELA, KDN, Datuk Musa Sulaiman; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Dr Muhamad Sade Mohamad Amin; Penolong Pegawai Daerah Ranau (Pembangunan) Wakil Rasmi Pegawai Daerah Ranau, Hasinin Kinsim dan Wakil Rasmi Pesuruhjaya Polis Sabah, ASP Jailix Amindang.

Ini termasuklah, Pengarah Bahagian Pencegahan, Zainudin Abdullah dan Pengarah AADK Negeri Sabah, Nani Sikin.

Accessibility Toolbar