PUSPEN Sepang dilanda banjir

Oleh: Siti Syakilah Muhd Khir

SEPANG, 5 November 2023 – Hujan lebat secara berterusan mengakibatkan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sepang di bawah kendalian Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dilanda banjir kilat.

Ia berlaku susulan kenaikan air secara mendadak akibat daripada ban Sungai Semenyih dan Sungai Labu pecah sekali gus mengakibatkan kawasan PUSPEN digenangi air sedalam hampir 1 meter.

Menurut Pengarah PUSPEN Sepang, Shamsul Anuar Mohamad Saleh, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, tindakan mengosongkan premis pejabat dan kuarters telah dilaksanakan atas nasihat pihak Jawatankuasa Bencana Daerah Sepang.

“23 keluarga yang menghuni rumah khas jabatan telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir.

“Sementara itu, 200 klien pula telah selesai dipindahkan ke lima buah PUSPEN iaitu masing-masing 30 klien di PUSPEN Tiang Dua dan PUSPEN Jelebu; 98 klien di PUSPEN Dengkil; 22 klien di PUSPEN Serenda dan 20 klien di PUSPEN Tampin,”katanya di sini pada Ahad

Katanya, pemantauan dari semasa ke semasa akan diteruskan dengan penugasan pegawai seperti biasa.

“Secara keseluruhannya, keadaan semua klien, penghuni rumah khas jabatan dan aset-aset jabatan telah selamat dipindahkan,”ujarnya.

Accessibility Toolbar