AADK terima 62 pegawai lantikan baharu

Oleh: Nabil Aziz

SUNGAI PETANI, 21 Julai 2023 – Seramai 62 orang berjaya dilantik sebagai pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Gred S41 dan S29 lantikan baharu yang akan memulakan tugas di penempatan yang ditetapkan iaitu di pejabat AADK dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) seluruh negara bermula Isnin ini.

Daripada jumlah itu, seramai 24 orang pegawai AADK sedia ada daripada jawatan Pembantu Antidadah Gred S19 dan Penolong Pegawai Antidadah Gred S29 berjaya menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Antidadah Gred S29 (21 orang) dan Pegawai Antidadah Gred S41 (3 orang).

Perkara itu diumumkan ketika Majlis Tamat Latihan dan Apresiasi Sempena Kursus Asas Penempatan Pegawai Antidadah S41 dan Penolong Pegawai Antidadah Gred S29 Lantikan Baharu Tahun 2023 ini.

Terdahulu Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon merasmikan majlis itu selain menyampaikan amanat dan nasihat agar semua pegawai lantikan baharu untuk kekal disiplin dan mematuhi peraturan penjawat awam ditetapkan khususnya kehadiran ke pejabat.

Selain itu kata beliau, keberadaan di pejabat dalam tempoh semasa bekerja yang diarahkan oleh penyelia adalah faktor penting bagi memastikan semua pegawai menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Saudara-saudara yang dilantik ini perlu menekankan aspek disiplin diri terutamanya kehadiran ke pejabat seperti yang ditetapkan oleh penyelia masing-masing.

“Selain itu, keberadaan di tempat kerja juga adalah penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan agensi kepada masyarakat boleh dilaksanakan secara berkesan dan maksima,” katanya ketika berucap merasmikan majlis itu di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Puan Chan Hong Jin; Pengarah Pusat Latihan AADK, Dr Rafidi Jusoh dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Sumber Manusia) AADK, Noor Atikah Mokhtar.

Mewakili seluruh pengurusan tertinggi AADK, tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pegawai lantikan baharu. Selamat menjalankan amanah.

Accessibility Toolbar