Rumah Perantaraan fasiliti baharu AADK bantu pulih penagih dadah

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat

KUALA LUMPUR, 19 Februari 2024 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mewujudkan kemudahan Perkhidmatan Rumah Perantaraan AADK untuk penagih dadah yang mahu mendapatkan rawatan pemulihan dadah secara sukarela.

Fasiliti pertama seumpamanya ini diwujudkan bagi menyediakan perkhidmatan rawat pulih di fasiliti yang selesa, mudah akses dan berasaskan komuniti terletak di Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, objektif kemudahan itu adalah untuk menyediakan fasiliti yang mempunyai persekitaran lebih selamat, bersih dan selesa.

“Ia secara tidak langsung dapat menyediakan pelbagai kemudahan dan akses program serta aktiviti yang mampu meningkatkan proses pengekalan kepulihan klien kerana ia bersifat lebih terbuka (community based).

“Khususnya kepada klien untuk mendapatkan input dan rujukan yang berupaya meningkatkan kualiti hidup dalam aspek pekerjaan dan tempat tinggal iaitu tempat berehat sementara” katanya dalam sidang media pada Majlis Peluncuran Perkhidmatan Rumah Perantaraan AADK pada Isnin.

Tuan Sutekno berkata, klien turut boleh membawa ahli keluarga masing-masing untuk bersama-sama mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan penerangan bagi membantu kepulihan penagihan dadah dijalani oleh klien.

“Ada klien yang selesai menjalani rawatan pemulihan dadah, mereka akan ‘relapse’ (kembali menggunakan dadah), justeru amat penting orang sekeliling terutama keluarga membantu proses pemulihan. Jadinya, kita benarkan mereka bawa keluarga di Rumah Perantaraan AADK ini.

“Justeru kita berharap masyarakat setempat yang memerlukan perkhidmatan pemulihan dadah dapat datang ke sini tidak kira sama ada mereka yang ‘relapse’ atau baharu. InsyaAllah kita akan buka lebih banyak fasiliti sebegini di tempat lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tuan Sutekno menambah, sebanyak empat perkhidmatan utama ditawarkan menerusi kemudahan itu iaitu saringan, penilaian dan kemasukan klien, rujukan dan advokasi, program rawatan dan pemulihan dalam komuniti (RPDK).

“Ia menggunakan Model i-Pulih AADK yang meliputi komponen biologi, psikologi, sosial dan spritual serta menyediakan pemadanan minat dan kerjaya (SDS-AADK).

“Mereka yang mahu mendapatkan perkhidmatan ini boleh datang secara sukarela atau ‘walk in’ dan waktu operasi kemudahan ini pula adalah pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 8 malam bagi pendaftaran dan penerimaan klien.

“Sekiranya mahu mendapatkan rujukan selepas waktu pejabat atau cuti umum perlu melalui Talian Hotlien Hello AADK bernombor 1-800- 22-AADK (2235) atau WhatsApp di talian 019-626 2233,” katanya.

Accessibility Toolbar