Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif
KAJANG, 2 November 2021 – Warga kerja Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) disaran terus proaktif melunaskan amanah tugasan dengan mesra, pantas dan menggunakan kaedah yang lebih inovatif bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada orang awam.
Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, kakitangan agensi juga perlu memastikan perkhidmatan yang ditawarkan dirasai oleh semua klien, ahli keluarga klien dan seluruh masyarakat yang mempunyai permasalahan dadah.
“Kita berada dalam era yang tidak stabil, tidak boleh dijangka dan tiada ketentuan. Dunia bergerak pantas ke arah yang tiada kepastian.
“Dalam erti kata lain, we are living in a fast changing world, volatile and unpredictable. Pandemik Covid-19 merupakan faktor utama mempengaruhi ketidaktentuan yang berlaku.
“Sehubungan itu, budaya inovasi hendaklah dipraktikkan supaya kita kekal relevan sebagai agensi utama dalam memberikan perkhidmatan berkesan kepada klien dan orang ramai walaupun dalam suasana yang tidak jelas. Bussiness is indeed, unusual,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Inovasi dan Kecemerlangan AADK 2021 yang berlangsung di Ibu Pejabat AADK di sini pada Selasa.
Turut menjayakan program tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Chan Hong Jin dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin.
Tambah Sutekno berdasarkan Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2020 merekodkan Malaysia naik dua anak tangga di kedudukan ke-33 daripada 131 negara berbanding ke-35 pada tahun lalu.
“Pencapaian ini (peringkat antarabangsa) menunjukkan negara perlu kekal kompetitif dan berdaya saing melalui pemikiran secara kreatif dan inovatif iaitu thinking without the box.
“Justeru, kita perlu melipat ganda usaha mencipta pelbagai idea berinovatif dalam sistem penyampaian perkhidmatan seiring arus globalisasi yang pesat berkembang dewasa ini,” ujarnya lanjut.
Pada acara tersebut Sutekno turut meluangkan masa melihat produk inovasi hasil kerja 12 kumpulan dari Pusat Tanggungjawab (PTJ), AADK Ibu Pejabat, AADK negeri dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) yang mengambil bahagian dalam pertandingan terbabit.
Selain itu, beliau juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hari Inovasi dan Kecemerlangan AADK 2021.
Tuan Sutekno (dua dari kiri) mendengar penerangan mengenai penghasilan produk daripada peserta pertandingan Hari Inovasi dan Kecemerlangan AADK 2021 di Ibu Pejabat AADK di Kajang, Selangor pada 2 November 2021. Gambar AADK / Muhammad Rashdan Mohd Zakaria
Tuan Sutekno (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM5,000 kepada PUSPENÂ Muar yang dinobatkan juara pertandingan Hari Inovasi dan Kecemerlangan AADK 2021. – Gambar AADK / Muhammad Rashdan Mohd Zakaria