MTMD: AADK Selangor perhalusi strategi, wujud pelbagai program banteras penyalahguna dadah

Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif

SHAH ALAM, 21 Oktober 2021- Agensi Antidadah Kebangsaaan (AADK) komited dalam usaha penyelarasan dasar, pelan tindakan, strategi dan program membanteras dadah menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Selangor Bilangan 2 Tahun 2021 yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Ia sekali gus bagi memantau gerak kerja membanteras dadah membabitkan agensi dan organisasi terlibat di peringkat daerah dan negeri.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar Selangor, Datoโ€™ Seri Amirudin Shari itu turut membincangkan isu penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial selain mencapai keputusan melibatkan beberapa cadangan.

Satu daripadanya untuk memperkemaskan tindakan pendidikan pencegahan dan pengesanan pekerja yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah atau bahan melalui Pelaksanaan Tempat Kerja Bebas Dadah: Rancangan 3 Tahun Agensi atau Jabatan Kerajaan Negeri Selangor (2022-2024).

Selain itu, MTMD Selangor juga memutuskan untuk mengangkat Pemerkasaan Peranan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) dalam mengekalkan kepulihan bekas klien AADK Selangor.

Faktor berkenaan diambil kira berikutan penagihan dadah adalah penyakit kompleks, berulang dan kronik serta memerlukan penjagaan sepanjang hayat.

Justeru, dengan adanya sistem jagaan lanjutan yang pelbagai dan mudah diakses, ia dapat membantu meningkatkan tahap kepulihan.

Sementara itu, medium tersebut turut bersetuju untuk melaksanakan Kempen Kolektif Amal Seniman Indie Membanteras Dadah khusus kepada generasi muda.

Dalam pada itu, mesyuarat juga berharap agar lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan lain berganding bahu bagi memastikan usaha membasmi gejala penagihan dadah dapat dilakukan dengan lebih komprehensif demi mencapai matlamat Selangor Sejahtera Tanpa Dadah dan Dadah Terkawal 2025.

Mesyuarat tersebut turut disertai Pegawai Kewangan Negeri Selangor mewakili Datoโ€™ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datoโ€™ Haris Kasim; Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datoโ€™ Salim Soib @ Hamid; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Chan Hong Jin dan Pengarah AADK Selangor, Nazir Mohamad.

Pada masa sama, melibatkan Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi serta Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor yang merupakan ahli tetap mesyuarat berkenaan.

Accessibility Toolbar