MOF Anjur Sesi Libat Urus Prestasi Ekonomi Dan Bantuan Bersasar Kepada Rakyat Bersama Warga AADK

KAJANG, 8 Julai 2021 – Kementerian Kewangan (MOF) menganjurkan sesi Libat Urus Prestasi Ekonomi dan Bantuan Bersasar kepada Rakyat dan Peniaga di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bersama warga kerja Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Sesi tersebut diadakan bertujuan menyelesaikan sebarang salah faham dan tanggapan yang timbul mengenai bantuan yang disalurkan kerajaan sepanjang menghadapi pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, usaha tersebut diadakan bagi menyampaikan maklumat berkaitan prestasi ekonomi negara selain menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP1.0) yang dilaksanakan pada Mac 2020 untuk mengekang penularan wabak Covid-19 telah memberi impak terhadap mata pencarian seramai 2.8 juta rakyat yang bekerja sendiri atau mengambil upah harian dan kadar isi rumah serta perniagaan yang terkesan adalah 53 peratus.

“Isu penjejasan secara kewangan ini telah menyebabkan golongan tersebut terjebak dalam penyalahguna dadah untuk menghilangkan tekanan.

“Sehubungan itu, sesi yang dijalankan bersama AADK ini turut membawa objektif bagi menggalakkan pihak AADK untuk menguar-uarkan segala bantuan yang disediakan di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi seperti Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan yang terbaharu Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) kepada bekas-bekas penagih,” katanya di sini, hari ini.

Sesi libat urus tersebut diadakan secara sidang video dan disertai oleh warga kerja AADK, pegawai MOF dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Turut hadir Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Chan Hong Jin.

Sementara itu, Sutekno berkata, melalui usaha tersebut, AADK boleh membantu kerajaan dalam menyalurkan maklumat yang tepat kepada masyarakat berhubung isu berkenaan.

“Usaha yang diwujudkan MOF ini adalah amat bertepatan bagi menjelaskan kepada kakitangan kerajaan khususnya AADK berhubung salah faham yang timbul.

“Melalui cara ini, kakitangan dan pegawai di AADK boleh membantu kerajaan untuk menyalurkan maklumat yang lebih tepat kepada masyarakat khususnya ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Ini kerana, mereka juga berhadapan dengan rakyat dan dengan sesi libat urus ini, mereka boleh sampaikan dan sebarluaskan informasi tepat kepada semua pihak,” ujarnya.

Accessibility Toolbar