Ketua Pengarah AADK Berbuka Puasa Bersama Warga Kerja AADK Pulau Pinang, Klien PUSPEN Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM, 19 April – YBrs Tuan Sutekno Ahmad Belon, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) hadir dalam majlis Ihya Ramadan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Mertajam, di sini pada Isnin.

Ia bersempena dengan lawatan kerja Ketua Pengarah selama dua harı di Pulau Pinang bermula hari ini.

Dalam majlis itu, Tuan Sutekno menyertai majlis berbuka puasa, menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah bersama-sama warga kerja AADK negeri dan klien di pusat tersebut.

Turut hadir dalam majlis Ihya Ramadan ialah Pengarah AADK Pulau Pinang, Puan Elmariah Chung dan Pengarah PUSPEN Bukit Mertajam, En Aman bin Mustafa.

Dalam majlis itu juga, seorang klien PUSPEN Bukit Mertajam turut mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan persembahan qasidah sebelum berbuka puasa.

Sementara itu, sesi lawatan kerja Ketua Pengarah ini merupakan yang pertama ke Pulau Mutiara selepas dilantik sebagai Ketua Pengarah pada 11 Januari 2021 lalu.

Terdahulu, beliau hadir ke program Ramah Mesra bersama warga kerja AADK negeri dan kemudiannya melawat empat pejabat daerah iaitu AADK Daerah Timur Laut; AADK Daerah Seberang Perai Utara; AADK Daerah Seberang Perai Selatan dan AADK Daerah Seberang Perai Tengah.

Semasa berada di Pejabat AADK Daerah Seberang Perai Selatan, tuan Ketua Pengarah turut meluangkan masa meninjau tapak bagi tujuan pembinaan pejabat baharu di daerah berkenaan.

Difahamkan, tapak baharu itu akan melibatkan pembinaan ruang pejabat, Pusat Tahanan Reman dan Pusat Khidmat AADK Negeri Pulau Pinang.

Accessibility Toolbar