KDN sedia penuhi keperluan pindaan APD

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat

SUNGAI PETANI, 5 November 2023 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia memenuhi keperluan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) apabila hukuman pesalah penyalahgunaan dadah ditukar daripada hukuman penjara kepada program rawatan dan pemulihan kelak.

Menterinya, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, menerusi pindaan Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983, pihaknya bersedia menguruskan kesemua keperluan berkenaan termasuk aspek logistik AADK, perjawatan dan keperluan utama lain.

Beliau berkata, AADK sendiri ketika ini menyambut baik cadangan meminda akta berkenaan yang pada masa sama, menandakan tahap siap siaga agensi itu dalam melaksanakan sebarang perubahan akan dibuat selepas ini.

“Kita akan terus mendokong sesuai dengan pindaan yang akan dibuat. Kita ada sejumlah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), ada pegawai pemulihan AADK atau staf terlatih, keperluan sokongan logisitik dan sebagainya yang mana perkara itu akan sentiasa diberi tumpuan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pentauliahan Program Pensijilan AADK Kali Ke-2 di Pusat Latihan AADK di sini, pada Ahad.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan akan meminda APD (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi memberi peluang kedua buat penagih mendapatkan rawatan untuk pulih daripada penagihan tanpa dimasukkan ke dalam penjara.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, peranan komuniti termasuk ahli keluarga penagih amat penting, di sebalik usaha kerajaan memerangi penyalahgunaan dadah termasuk dengan meminda akta berkaitan.

“Kerajaan boleh pinda APD, tapi ada komponen penglibatan pemegang taruh yang penting iaitu bukan sahaja keluarga yang ahlinya terlibat masalah dadah tapi komuniti secara keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu beliau hadir menyampaikan sijil pentauliahan PPA kepada 385 pegawai AADK yang berjaya menamatkan tiga program PPA iaitu Sijil Amalan Pendidikan Pencegahan (CPE), Sijil Amalan Rawatan dan Pemulihan (CPP) serta Sijil Amalan Penguatkuasaan (CEP) untuk tiga perkhidmatan teras iaitu Rawatan dan Pemulihan, Pendidikan Pencegahan dan Penguatkuasaan Antidadah.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Shobah Jamil dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Agensi Antidadah Kebangsaan, Tuan Khairul Anwar Bachok.

Accessibility Toolbar